UMNO akan terpaksa berubah bagi menarik golongan muda kerana sudah ada sebuah parti baharu untuk mereka sekarang, kata bekas ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin.
Khairy, yang kini menteri sains, teknologi dan inovasi itu berkata, beliau mengalu-alukan pembentukan sebuah parti politik anak muda dicadangkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana ia adalah “persaingan” untuk Umno.
“Parti baharu ini akan hantar petunjuk kepada rakan saya dalam Umno.
“Jika kita tak boleh bersaing dengan parti baharu seperti ini, kita tidak akan dapat sokongan orang muda.
“Saya melihatnya sebagai langkah positif. Mungkin ia akan mempercepatkan proses pembaharuan parti saya,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Tambahnya lagi, sangat bagus yang parti baharu orang muda dibentuk kerana golongan itu memerlukan perwakilan dan bukti demokrasi subur di Malaysia.
“Kami mengalu-alukan dan meraikannya, (ia) sebahagian daripada demokrasi. Saya memang rasa yang golongan muda, generasi milenium mahu diwakili.
“Mereka boleh diwakili parti baharu ini. Mereka juga boleh diwakili parti sedia ada,” katanya.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Rembau itu menegaskan beliau tidak akan menyertai Syed Saddiq dan akan kekal bersama Umno.
“Saya sudah kata ini (Umno) parti saya. Inilah parti saya. Maksudnya saya akan kekal dengan parti saya.”
Pertemuan antara Syed Saddid dan 30 anak muda Malaysia pelbagai latar belakang diadakan pada Isnin lepas untuk membincangkan penubuhan parti politik baharu khas untuk golongan muda.
Dipercayai yang parti itu akan diberi nama “Muda” dan bakal dilancarkan tidak lama lagi. – 4 September, 2020.
Komen