11 kes baharu Covid-19, 9 pulih


SEBELAS kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif di negara ini kini 9,385,  kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada 11 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import, manakala empat lagi adalah penularan dalam negara, tambah beliau.

“Ingin dimaklumkan daripada 11 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan lima bukan warganegara.

“Daripada empat (kes penularan di dalam negara, tiga kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan tahanan yang bakal dihantar pulang ke negara asal di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Beranang, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata tiada kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes kematian setakat ini kekal 128 orang.

Sehingga kini juga, seramai empat pesakit positif Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi, dan tiga daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Menurutnya lagi, sembilan pesakit sembuh dari jangkitan dan dibenarkan discaj hari ini. Oleh itu, jumlah kes pulih sepenuhnya dari Covid-19 setakat hari ini adalah 9,092 kes. 

Manakala, terdapat 165 kes aktif.

Tujuh kes import yang dilaporkan hari ini melibatkan dua warga Malaysia dan lima warga asing dari India, Arab Saudi dan United Kingdom.

Daripada empat kes jangkitan tempatan pula, tiga kes melibatkan warga asing dan seorang melibatkan pendatang tanpa izin di pusat tahanan Beranang yang menunggu untuk dihantar pulang ke negaranya.

Tiga kes tempatan melibatkan warga Malaysia adalah satu kes dari Kluster Telaga, Kedah dan dua kes dari kluster baharu Depoh Tahanan Imigresen Semenyih 2. – 4 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen