Gangguan bekalan air dijangka berlanjutan 4 hari, kata Air Selangor


Ravin Palanisamy

CEO Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata tahap pencemaran loji sepatutnya berada pada had bau (TON) 0 sebelum ia selamat untuk digunakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 September, 2020.

HAMPIR 1.2 juta pengguna di Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air sekurang-kurangnya empat hari disebabkan pencemaran yang memaksa penutupan empat loji rawatan air di Selangor.

CEO Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata tahap pencemaran loji sepatutnya berada pada had bau (TON) 0 sebelum ia selamat untuk digunakan.

“Tahap pencemaran air sekarang berada pada tahap 1 TON, yang mana masih tidak selamat,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

“LRA Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 hanya akan mula beroperasi jika bacaan 0 TON diperoleh tiga kali berturut-turut. Ujian bacaan tiga kali ini dibuat setiap 30 minit antara satu bacaan.

“Apabila LRA ini mula beroperasi, pengguna akan mula menerima bekalan air paling kurang dalam tempoh empat hari,” katanya.

Air Selangor mendedahkan sejumlah 1,196,457 pengguna terjejas dengan gangguan bekalan air itu, meliputi 1,292 kawasan dalam tujuh daerah.

Kawasan terjejas adalah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat yang mula mengalami gangguan bekalan sejak 10 pagi tadi.

Awal hari ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kilang punca pencemaran sudah ditutup dan disita.

Katanya, siasatan pendakwaan ke atas kilang itu juga sudah dibuka.

Mengulas bahan pencemar terlibat, Suhaimi berkata analisis air mentah di tapak pencemaran dibuat makmal Air Selangor mengesan pencemaran kimia mengandungi Ester dan kompaun 1,3-Dioxolone.

“Ia biasanya tidak ditemui dalam sumber air tak tercemar,” katanya.

Membandingkan masalah gangguan bekalan yang berpunca dari loji rawatan sama, Suhaimi berkata pengguna pernah mengalami gangguan bekalan air selama tujuh hari sebelum ini apabila loji rawatan terpaksa ditutup selama 10 jam.

Katanya, gangguan selama tujuh hari tahun lepas juga disebabkan pencemaran bau dikesan pada 19 Julai 2019 dan pencemaran diesel dua hari kemudian.

Mengambil tauladan isu ini, Suhaimi berkata rakyat perlu melihat pencemaran sungai sebagai masalah serius dan menyifatkan gangguan bekalan semasa adalah masalah besar.

“(Sehingga kini) sudah lebih 24 jam ditutup. Pengguna perlu faham betapa besarnya masalah ini.

“Kebimbangan saya adalah rakyat tak faham betapa besar isu ini. Ini masalah besar, bukan kecil,” katanya.

Suhami juga menasihati pengguna supaya berjimat menggunakan air apabila bekalan kembali disambung.

Air Selangor menyediakan perkembangan terkini gangguan bekalan air tidak berjadual menerusi akaun Twitter, Facebook dan Instagramnya, serta laman webnya www.airselangor.com.

Sementara itu, Exco Selangor Hee Loy Sian mendedahkan nama kilang yang menyebabkan gangguan bekalan air besar-besaran di Lembah Klang.

Dilaporkan SelangorTV, kilang tersebut, Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd adalah kilang penyeliaan dan perkhidmatan jentera berat.

Ia tidak melupuskan sisa minyak hitam dengan baik dan mengalirkannya masuk ke dalam sungai.

Hee juga berkata kilang itu adalah pesalah berulang dan pernah didenda sebelum ini. – 4 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen