Platform e-dagang sandaran baharu peniaga kecil di tengah wabak


Diyana Ibrahim

Platform perniagaan e-dagang seperti Lazada dan Shopee menjadi pilihan peniaga terutamanya ketika pandemik Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2020.

PENIAGA kecil yang asalnya mencuba e-dagang untuk mencari pasaran baharu kini meneruskan operasi mereka sepenuhnya di platform itu selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak Mac lalu mengubah cara perniagaan di tengah pandemik Covid-19.

Platform seperti Shopee dan Lazada kini malah menjadi pilihan peniaga kecil, termasuk yang menjual kek dan kuih.

Farah Afiq, 30, misalnya menjual kek lapis Sarawak di platform e-dagang untuk menambah pendapatannya sejak Mac lepas.

Juruaudit itu sudah memulakan perniagaan atas Baby Kek Lapis Sarawak sejak 2014 namun mencuba kaedah jualan dalam talian untuk menjimatkan kos penghantaran.

“Sebelum ini kami menghadapi masalah aduan dari ejen dan pelanggan tentang kos penghantaran yang agak tinggi, yang bila ditambah dengan harga kek jadi bertambah mahal.

“Saya sendiri pernah beli barang di Shopee dan rasa mudah bila dapat penghantaran percuma untuk pembelian RM19 ke atas… dari situlah terdetik nak bermula (menggunakan platform e-dagang),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Farah yang menjalankan perniagaan di Ipoh berkata kemudahan penghantaran percuma dapat menarik pelanggan yang jauh.

“Contoh kalau produk berharga RM10 bila mereka beli dua biji kek mereka dah dapat penghantaran percuma.

“Dapat barang pun mudah terus sampai depan pintu rumah,” katanya.

Platform e-dagang berjaya mengubah peniaga di jalanan untuk beralih ke pasaran dalam talian yang semakin mendapat perhatian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2020.

Farah berkata sejak menggunakan platform e-dagang hasil jualannya turut meningkat dan pernah meraih lebih RM10,000 sebulan semasa musim PKP.

Putrajaya menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac bagi membendung penularan pandemik Covid-19. Sekatan itu menyebabkan operasi perniagaan ditutup kecuali antaranya kedai runcit, pasar raya dan kedai makan, menyebabkan ramai peniaga kecil memilih berniaga dalam talian.

Bagi Saifuddin Ahmad, 40, yang menjual kuih peneram di Kedah mula berniaga di Shopee pada Januari lalu kerana merasakan platform itu memudahkan pemasarannya.

Saifuddin berkata konsep e-dagang memudahkan peniaga kecil sepertinya kerana jenama syarikat itu sudah terkenal dan mempunyai pengikut yang ramai.

“Platform yang baik untuk usahawan offline dan online, kerja pemasaran nak iklankan dah tak perlu dah sebab nama mereka sudah besar,” katanya, yang sudah lebih 10 tahun berniaga kuih penaram di gerai.

Pada masa sama Saifuddin berkata menjual melalui e-dagang memberikannya akses perniagaan lebih meluas kerana dapat menarik pelanggan yang jauh, termasuk dari Sabah dan Sarawak malah dari Singapura.

“Alhamdullilah, setiap hari memang ada saja jualan yang masuk, masa PKP bulan Mei dan April memang tidak menang tangan.

“Terlalu banyak jualan… sehari saja kita dah cecah 50 ke 60 bungkusan,” katanya.

Dengan platform e-dagang, peniaga tidak perlu lagi membuka premis tetapi cukup hanya mempromosikan produk mereka dalam talian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2020.

Nur Hasliza Mohd Salleh, 24, yang berniaga di platform e-dagang sejak Jun 2018 berkata perniagaan dalam talian mempunyai banyak kelebihan namun tetap ada cabaran.

Antaranya ialah masalah penghantaran apabila pelanggan tidak mendapat barang yang telah dikirim sehingga menyebabkan peniaga terpaksa membayar ganti rugi kepada mereka, katanya.

Namun peniaga separuh masa yang menjual barang borongan kelengkapan dapur dan hiasan rumah mengakui ada kelebihan berniaga di Shopee kerana sistemnya yang telus.

“Urusannya juga cepat dan banyak ‘tools’ dalam Shopee yang boleh membantu peniaga sentiasa mempromosi barangan jualan,” katanya

Bagi pengendali e-dagang seperti Shopee dan Lazada mereka telah memperluas rangkaian barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan harian pengguna semasa PKP.

Shopee misalnya melancarkan kempen “Stay Home Essentials” yang menampilkan lebih daripada 20,000 produk yang biasa dibeli seperti bahan makanan segar dan kering, barangan bayi, susu formula, lampin, mainan, produk penjagaan diri, barang keperluan rumah, dan makanan haiwan peliharaan.

Ketua Pengarah Eksekutif Lazada Leo Chow. – 4 September, 2020.

Manakala Ketua Pengarah Eksekutif Lazada Leo Chow berkata apabila PKP dilaksanakan syarikat itu berperanan membantu menstabilkan kehidupan rakyat dengan menjadi pengendali e-dagang pertama melancarkan pakej ransangan Perniagaan Kecil dan Sederhana PKS dikenali sebagai Pakej Kedai Pintar.

Ia bermula dengan penyaluran dana sebanyak RM10 juta membolehkan peniaga PKS tempatan mendigitalkan perniagaan.

Beliau berkata sehingga Julai lalu, jumlah penyertaan peniaga kecil baharu yang menyertai Lazada meningkat 300% berbanding semasa tempoh pra PKP.

“Kita juga meneruskan kerjasama dengan MDTCA untuk memperkasa produk dan jenama tempatan menerusi inisiatif ‘Buy Malaysia’.

“Kerjasama ini menawarkan RM8 baucar  penghantaran percuma dan potongan harga sebanyak sehingga 70% bagi produk buah-buahan dan sayur-sayuran, makanan ringan kanak-kanak, baju dan sebagainya,” katanya.

Usaha itu telah memberi kesan ke atas peningkatan sumbangan peniaga tempatan sebanyak 3,800%  ke atas ekonomi domestik.– 4 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen