Tawaran baharu Perikatan masih dalam perbincangan, kata Mustapa Mohamed


Diyana Ibrahim

Menteri ekonomi Mustapa Mohamed berkata tidak dapat beritahu bila tawaran baharu itu akan dibentangkan kepada rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2020.

PUTRAJAYA sedang memuktamadkan tawaran baharu kepada rakyat, yang akan menjadi ganti manifesto kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih pentadbiran daripada Pakatan Harapan (PH), kata menteri ekonomi Mustapa Mohamed.

Tawaran baharu itu akan berpandu pada 10 asas hala tuju negara yang disebut oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kelmarin, katanya.

“Perbincangan untuk memuktamadkan tawaran baru sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Mac lepas sedang giat dijalankan,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Mustapa bagaimanapun tidak dapat memberitahu bila tawaran baharu itu akan dibentangkan kepada rakyat, sebaliknya berkata perbincangan sedang dipimpin oleh empat menteri kanan.

“Walau kita tidak ada (tawaran) yang khusus tapi sudah ada perbincangan… jadi sekarang ‘work in progress’ (sedang dalam proses).

“Tapi yang penting perdana menteri sudah gariskan 10 perkara prinsip dan itu mungkin akan dijadikan parameter untuk tawaran baru,” katanya.

Mustapa ditanya mengenai tawaran baharu PN dalam sidang media selepas melawat tapak projek naik taraf Kompleks Majlis Sukan Negara, di Bukit Jalil.

PN menggantikan PH di Putrajaya dan beberapa negeri selepas percaturan politik pada hujung Februari lalu.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu menarik keluar partinya dari gabungan PH untuk membentuk gabungan baharu bersama Umno dan PAS, yang disokong oleh komponen Barisan Nasional (BN) dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Perdana menteri pada Selasa berkata kerajaannya menetapkan 10 asas hala tuju Malaysia yang merangkumi soal ekonomi, pendidikan, reformasi sektor kesihatan, integriti, keselamatan dan ketenteraman awam, perpaduan, dan pembangunan digital.

Antara asas itu ialah memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 serta mengagihkan kemakmuran negara secara adil dan saksama, dengan agenda Bumiputera kekal sebagai agenda nasional.

“Asas ini ditetapkan kerana kerajaan PN ini tidak mempunyai apa-apa manifesto atau akujanji yang biasanya dibentangkan kepada rakyat semasa kempen pilihan raya,” katanya pada Selasa.

Muhyiddin berkata demikian dalam ucapan menutup Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) – Pencapaian, Harapan dan Cabaran anjuran Pertubuhan Intektual Negara (PINTAR).

Tawaran baharu ini pertama kali disebut oleh Muhyiddin selepas mempengerusikan mesyuarat sulung Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu, 10 hari selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang baharu.

Menurut Muhyiddin, dalam mesyuarat pertama itu semua kementerian dan jabatan diarah mengemukakan cadangan untuk manfaat rakyat kerana kerajaan yang diterajuinya terbentuk tanpa manifesto khusus. – 3 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen