Cadangan reformasi agensi anti rasuah akan dibentang ke Kabinet, kata SPRM


Cadangan itu akan diusulkan di Parlimen pada sidang yang terdekat sekiranya diluluskan oleh Jemaah Menteri, kata SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2020.

CADANGAN reformasi institusi agensi anti rasuah akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum boleh dibawa ke Parlimen untuk digubal sebagai undang-undang melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) telah bersetuju dengan cadangan reformasi itu, yang melibatkan pelantikan ketua pesuruhjaya dan suruhanjaya perkhidmatan SPRM, baru-baru ini.

“SPRM kini dalam peringkat menyediakan kertas kabinet yang bakal dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan dan kelulusan.

“Seterusnya, perkara itu akan diusulkan di Parlimen pada sidang yang terdekat sekiranya diluluskan oleh Jemaah Menteri.

“Kedua-dua cadangan ini merupakan peruntukan baharu dalam Perlembagaan Persekutuan dan memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen bagi membolehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.

Reformasi mengukuhkan SPRM sebagai badan bebas adalah antara janji Pakatan Harapan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14, yang terkandung sebagai Janji 14 dalam manifestonya yang dinamakan Buku Harapan.

Reformasi itu bertujuan menjadikan SPRM sebagai suruhanjaya yang dibentuk melalui Perlembagaan Persekutuan, sama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan autonomi dan kuasa sendiri melantik pegawainya.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata mesyuarat JKKMAR yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bersetuju dengan cadangan pelantikan ketua pesuruhjaya agensi itu dibuat melalui kelulusan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Penamatan perkhidmatan ketua pesuruhjaya itu juga hanya boleh dibuat melalui tribunal khas.

Azam juga berkata kerajaan turut bersetuju mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM bagi mengendalikan pengambilan atau penamatan perkhidmatan kakitangan dan pegawainya.

Pada masa ini, urusan berkenaan dikendalikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Ini perlu bagi memperlihat bahawa SPRM sebagai badan bebas dan tiada campur tangan daripada mana-mana pihak,” kata Azam, dalam satu wawancara semalam. – 3 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen