TINJAUAN mendapati jumlah rakyat Filipina yang menganggur mencecah 4.6 juta pada Julai 2020 ketika negara menghadapi masalah ekonomi akibat wabak Covid-19, lapor agensi berita Xinhua pada Khamis.
“Pengangguran di Filipina pada Julai 2020 dianggarkan 10%. Lebih tinggi berbanding bulan sama tahun lalu iaitu 5.4%, tetapi lebih rendah daripada jumlah tertinggi iaitu 17.7% yang dicatatkan pada April 2020,” kata pakar ekonomi dan statistik Filipina, Dennis Mapa dalam taklimat media secara maya.
Katanya, bilangan yang menganggur berumur 15 tahun ke atas, dianggarkan berjumlah 4.6 juta pada Julai 2020 - lebih tinggi berbanding 2.2 juta pada tempoh sama tahun lalu tetapi lebih rendah 2.7 juta daripada tiga bulan lalu.
Di Metro Manila sahaja, Mapa berkata sekitar 929,000 orang tidak bekerja diikuti wilayah Calabarzon, selatan Manila, menyaksikan kira-kira 886,000 orang menganggur dan 552,000 lagi di wilayah tengah Luzon, utara Manila.
Metro Manila merupakan pusat penularan wabak Covid-19 manakala wilayah Calabarzon dan wilayah tengah Luzon dikenakan sekatan pergerakan sejak pertengahan Mac. Sekatan pergerakan menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan di Filipina.
Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar merosot 16.5% pada suku kedua 2020, pertumbuhan suku tahunan terendah dicatatkan sejak 1981. Dengan 226,440 jumlah jangkitan, Filipina kini mempunyai kes Covid-19 paling tinggi di Asia Tenggara. – Bernama, 3 September, 2020.
Komen