SURAT sokongan menteri atau ahli politik bukan satu arahan yang mesti dipatuhi oleh penjawat awam, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shamsun Baharin Mohd Jamil.
Katanya, tidak salah kalau menteri atau ahli politik menulis surat sokongan tetapi yang salah ialah jika surat itu diambil kira oleh penjawat awam dalam menentukan keputusan mereka.
“Kita pernah keluar statement (kenyataan), siapa-siapa nak keluar surat sokongan, kita tak melarang.
“Tidak menjadi kesalahan, mana-mana menteri ke, mana ahli politik nak keluar surat sokongan cuma pihak kita sebagai kakitangan kerajaan, kita tidak boleh guna ini sebagai asas buat keputusan,” katanya, seperti dipetik media hari ini.
Shamsun Baharin juga dipetik berkata SPRM sudah mengeluarkan garis panduan mengenai status surat sokongan menteri dan ahli politik sebelum ini.
Katanya, penjawat awam tertakluk pada prosedur operasi standard (SOP) kelulusan permohonan atau proses membuat keputusan.
Shamsun Baharin mengulas kontroversi melibatkan isu surat sokongan yang timbul susulan sokongan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob terhadap permohonan timbalannya Ikmal Hisham Abdul Aziz yang memohon sokongan untuk anaknya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga.
Pharmaniaga adalah anak syarikat Boustead Holdings Berhad, yang dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Lembaga itu juga mempunyai pegangan kecil dalam Pharmaniaga.
Ismail Sabri mengaku memberikan sokongan terhadap cadangan pelantikan anak timbalannya itu namun menjelaskan pelantikan itu tidak dibuat seperti yang dicadangkan.
Katanya, beliau tidak campur tangan dalam urusan pelantikan ahli lembaga pengarah berkenaan sebaliknya menyerahkan kepada syarikat untuk membuat keputusan.
Kontroversi surat sokongan itu juga timbul ketika Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dirakam dalam satu ucapan berjanji akan mengeluarkan surat sokongan untuk ahli Pemuda Bersatu. – 3 September, 2020.
Komen