Dr Mahathir dakwa Perikatan rasuah pengundi PRK Slim


Alfian Z.M. Tahir

Dr Mahathir Mohamad mendakwa rasuah berlaku di PRK Slim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 September, 2020.

PERIKATAN Nasional merasuah pengundi Pilihan Raya Kecil Slim pada hujung minggu lepas, kata Dr Mahathir Mohamad. 

Beliau membuat dakwaan itu pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini, menambah yang beliau sendiri melihat gambar rasuah itu dilakukan.

“Kita tahu banyak mana duit yang digunakan. Kita tahu mereka bawa pengundi menaiki van, di dalam van berkenaan itu diberikan duit.

“Kita tahu, mereka ambil gambar dan selepas undian dibuat, mereka tunjukkan jari bahawa sudah mengundi dan tunjukkan kepada orang BN, wang selebihnya akan diberikan.

“Inilah yang diberitahu kepada kami. Ada gambar,” katanya.

Beliau mendakwa rasuah sekitar RM50 sehingga RM100 seorang untuk pengundi yang memilih calon BN diberikan. 

Calon parti Dr Mahathir Mohamad, Pejuang, yang belum didaftarkan kalah PRK itu yang dijalankan Sabtu lepas. Calon BN Mohd Zaidi Aziz menang mengalahkan dua calon lain untuk mengekalkan kerusi DUN Slim itu.

Mengulas lanjut isu duit untuk raih sokongan, Dr Mahathir berkata Muhyiddin berkelakuan serupa dengan Najib Razak untuk terus berkuasa.

Jelasnya, ini dibuat sebaik sahaja Muhyiddin menjadi perdana menteri dengan menggantikan 30 ketua syarikat berkaitan kerajaan dengan politikus Umno dan PAS.

“Muhyiddin guna cara Najib bagi duit.

“Ketika saya dalam Pakatan Harapan, kami lantik profesional untuk ketuai GLC tetapi bila Muhyiddin jadi PM, dia ganti semua profesional dengan ahli Umno dan PAS untuk dapat sokongan.

“Ini adalah satu bentuk rasuah dan salah guna kuasa,” kata negarawan berusia 95 tahun itu. – 3 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen