SEORANG pemain bola sepak di Ecuador didenda AS$1,200 pada Isnin kerana mencium bola, tindakan yang melanggar peraturan cegah Covid-19.
Sergio Lopez, pemain warga Argentina yang bermain untuk Aucas berpengkalan di Quito dalam Liga Pro, adalah pemain pertama dihukum di bawah peraturan baharu itu, selepas melakukan kesalahan ketika meraikan kemenangan 1-0 terhadap Macara pada Jumaat.
Jawatankuasa Displin Liga berkata Lopez dihukum kerana mencium bola.
Peraturan baharu permainan diperkenalkan untuk liga bola sepak yang kembali bermain pada Ogos selepas lima bulan terhenti kerana wabak.
Lima lagi pemain juga didenda sebanyak AS$1,200 kerana bertukar jersi, yang juga diharamkan, pada perlawanan 16 Ogos lepas itu.
Dua pasukan lagi juga didenda kerana tidak mematuhi peraturan baharu: Liga de Portoviejo kerana tidak mempunyai kotak perubatan kecemasan dan Barcelona SC kerana tidak menyediakan pencuci tangan atau alkohol cuci tangan.
Ecuador merekodkan 114,000 kes jangkitan dan hampir 6,600 kematian kerana Covid-19.
Pihak berkuasa melaporkan terdapat 3,700 lagi kematian yang berkemungkinan disebabkan virus itu. – AFP, 3 September, 2020.
Komen