Saya tak mahu tersepit di antara 2 mentor, kata Syed Saddiq


Ragananthini Vethasalam Aminah Farid

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu membuktikan beliau mampu berjuang melalui platform sendiri dan tidak tersepit dalam politik ego dua mentornya iaitu Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 3 September, 2020.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman mahu membuktikan yang beliau mampu berjuang melalui platform sendiri, dan tidak tersepit dalam politik ego antara dua mentornya - Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.

Baginya, cara terbaik adalah dengan membuktikan kemampuannya memperjuangkan dasar, isu integriti dan bertanding dalam pilihan raya melalui parti belia yang akan ditubuhkannya.

Syed Saddiq digugurkan keahlian dari Bersatu selepas parti itu berpecah dua antara bekas pengerusinya Dr Mahathir dan presidennya Muhyiddin. 

Ahli Parlimen Muar itu bersama Dr Mahathir, Mukhriz Mahathir, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah digugurkan keahlian atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei.

“Saya doakan yang terbaik buat mereka. Saya tidak mahu cakap perkara yang tidak elok tentang parti lama saya,” kata bekas ketua Pemuda Bersatu itu kepada The Malaysian Insight.

“Saya akan lawan mereka berkenaan dasar, isu integriti dan bertanding dalam pilihan raya.

“Inilah cara terbaik untuk saya buktikan kemampuan dengan nilai-nilai positif melalui platform baharu.”

Menurut Syed Saddiq, politik sepatutnya bebas dari kebencian dan dendam.

“Satu perkara yang saya belajar dari dua mentor saya ialah politik ego perlu dibuang jauh.

“Sudah sampai masanya kita bergerak ke depan. Saya menghormati mereka, dan saya doakan yang terbaik buat mereka berdua.

“Masanya untuk saya bergerak maju ke depan dalam politik Malaysia,” katanya.

Syed Saddiq berkata beliau mahu memastikan kepimpinan anak muda tidak hanya terbatas kepada parti anak muda,tetapi penglibatan lebih ramai golongan itu dalam proses membuat keputusan.

Misalnya, beliau satu-satunya wakil belia dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Bekas menteri belia dan sukan itu juga menceritakan bagaimana program Malaysia@Work hampir ditutup disebabkan perbezaan pendapat daripada menteri yang kini bersama Perikatan Nasional.

Kerajaan Pakatan Harapan sudah memperuntukkan RM6.5 bilion menerusi Belanjawan 2020 untuk program Malaysia@Work bertujuan mewujudkan 350,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

“Saya mengambil masa hampir setahun untuk mendapatkan Kabinet bersetuju dengan Undi 18. Ini adalah sesuatu yang mudah. Itu bukan rang undang-undang wan dan dipersetujui dalam manifesto pilihan raya kami,” katanya merujuk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan usia mengundi dari 21 ke 18 tahun tahun lepas.

Syed Saddiq menjawab pertanyaan mengenai pelajaran apa yang telah dia pelajari yang tidak akan diulangi dengan parti baharu.

Ketika ditanya apakah partinya yang belum didaftarkan akan berjanji setia kepada kedua-dua belah parti politik, dia berkata fokus sekarang adalah untuk membina blok ketiga sebelum mempertimbangkan perkara lain.

Tumpuan parti itu adalah untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat dan bukannya politik wang, tambah Syed Saddiq. – 3 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen