PEKEBUN durian di Raub, Pahang bersedia memberikan wang pampasan kepada kerajaan negeri Pahang atas kerugian yang dihadapi – dengan syarat campur tangan daripada korporat besar harus dihentikan sepenuhnya
Pekebun yang bergabung dengan Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) berkata mereka hanya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri tanpa adanya orang tengah, Royal Pahang Durian Group (RPDG).
Samka juga berkata bahawa pekebun bersedia menanggung kerugian kerajaan negeri dengan membayar semula semua cukai yang belum dibayar dari tahun sebelumnya dan juga berkongsi sebahagian keuntungan mereka di masa depan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan negeri.
“Pekebun masih bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah kebun durian tanpa permit, tetapi campur tangan daripada korporat besar harus dihentikan sepenuhnya.
“Campur tangan korporat besar tersebut bukan hanya akan mengeksploitasi hak para pekebun, tetapi juga mengurangkan pendapatan kerajaan negeri. Matlamat utamanya adalah untuk memperoleh keuntungan secara maximum.” katanya.
“Samka menegaskan bahawa pekebun-pekebun bersedia untuk membayar pampasan kepada kerajaan negeri atas kerugian yang dialami, termasuk cukai tanah tertunggak sepanjang ini.
“Pada masa depan, Samka juga bersedia untuk terus membayar cukai tanah kepada kerajaan negeri dan berkongsi sebahagian keuntungan daripada penghasilan durian kepada kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Samka mengeluarkan kenyataan selepas Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail memberi amaran bahawa dia tidak akan berkompromi dalam isu tanah yang diusahakan secara haram oleh pekebun terbabit.
Wan Rosdy berkata kerajaan negeri buat masa ini terpaksa menangguhkan sementara tindakan penguatkuasaan notis pengosongan terhadap pekebun terbabit sehingga permohonan 111 pekebun bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 28 Oktober ini. – 2 September, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen