POLIS tidak tahu mengenai sebarang aktiviti keagamaan membabitkan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu, kata saksi pada inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.
“Saya tidak pasti (aktiviti keagamaan oleh Joshua dan Ruth),” kata ASP Shafiee Marsidi, saksi kesebelas inkuiri awam bagi menyiasat kehilangan pasangan suami isteri itu, di ibu pejabat Suhakam hari ini.
“Saya hanya mendapat maklumat dia beragama Islam sebelum murtad ke agama Kristian, dan dia seorang paderi.”
Shafiee menjawab soalan Pesuruhjaya Hishamuddin Yunus yang bertanya jika beliau tahu Joshua murtad kepada agama Kristian.
Saksi itu berkata Joshua dan Ruth disiasat bawah Akta Hasutan selepas satu laporan polis dibuat terhadap mereka di Rembau, Negeri Sembilan pada 2014.
Kes itu kemudian diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA), tambahnya.
Shafiee adalah pegawai bertugas di Balai Polis Sg Way, di mana rakan Joshua, Peter Pormanan, melaporkan kehilangan pastor itu dan Ruth pada Mac 2017. Shafiee bertugas di balai polis berkenaan dari Januari hingga Disember 2017.
Apabila ditanya jika mempunyai sebarang maklumat mengenai Ruth, saksi itu berkata beliau tidak mempunyai banyak maklumat mengenai pasangan suami isteri terbabit.
“Saya tidak tahu yang dia (Ruth) warga Indonesia.”
Pesuruhjaya Hishamuddin kemudian bertanya kepada Shafiee jika polis mendapat sebarang maklumat mengenai kegiatan pasangan itu semasa siasatan dijalankan.
“Kamu tahu aktiviti apa yang mereka sedang lakukan?”
Shafiee berkata beliau hanya memberi perhatian kepada siasatan semasa bertugas di Balai Polis Sg Way.
Hishamuddin kemudian bertanya jika pernah terlintas di fikiran saksi itu bahawa kehilangan Joshua dan Ruth ada kaitan dengan aktiviti mereka.
Shafiee berkata beliau tidak tahu menahu mengenai aktiviti pasangan suami isteri itu, termasuk dakwaan bahawa mereka memurtadkan orang, dan upacara itu kemudiannya dimuat naik di Facebook.
Polis tidak mempunyai banyak maklumat mengenai Joshua dan Ruth, yang disyaki menjadi mangsa kehilangan paksa. Pada 2018, iaitu dua tahun selepas mereka hilang, adik-beradik Ruth membuat laporan polis.
Keluarga Ruth tinggal di perkampungan nelayan di Nambiki di Sumatera utara.
Undang-undang hak asasi manusia mentakrifkan kehilangan paksa sebagai penangkapan, penahanan, penculikan atau apa sahaja bentuk kehilangan disebabkan oleh ejen-ejen negara atau oleh orang, atau kumpulan, yang bertindak dengan kebenaran, sokongan atau persetujuan negara.
Panel inkuri Suhakam dipengerusikan oleh Hishamuddin, dan dibantu oleh Pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma. – 2 September, 2020.
Komen