Pengundi Melayu suka Bersatu sertai Muafakat Nasional


Alfian Z.M. Tahir

Pengundi Melayu yang dikaji selidik oleh Merdeka Centre setuju dengan keputusan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional bersama Umno dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2020.

PENGUNDI Melayu yang dikaji selidik oleh Merdeka Centre menyatakan persetujuan dengan keputusan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional (MN), gabungan yang ditubuhkan oleh Umno dan PAS pada 2019.

Dalam kaji selidik dijalankan pada 15 Julai hingga 10 Ogos lalu oleh badan itu, pengundi Melayu juga berharap Umno bersama PAS akan menjadi sebahagian kerajaan persekutuan Perikatan Nasional (PN).

Umno bagaimanapun sudah menjelaskan ia tidak akan menyertai (PN) yang diterajui Bersatu dan PAS.

Semua tiga parti Melayu itu bersama dalam MN.

“Sebanyak 60% pengundi Melayu bersetuju keputusan Bersatu menyertai MN.

“Sebanyak 60% pengundi Melayu lebih suka Umno berada dalam PN tetapi 25% tidak berpendapat begitu.

“Hampir sama, 68% pengundi Melayu lebih suka PAS jadi sebahagian gabungan PN,” kata ketua penyelidik Merdeka Centre Ibrahim Suffian.

Sejumlah 3,415 pengundi berdaftar terdiri daripada 52% Melayu, 29% Cina, 7% Indian, 6% Islam Bumiputera dan 6% Bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak turut serta dalam kaji selidik itu.

Responden dipilih secara rawak menggunakan persampelan kumpulan umur, kaum, jantina dan kawasan mengundi.

Ibrahim berkata dapatan kaji selidik itu menunjukkan keutamaan dan persetujuan khususnya dalam kalangan pengundi Melayu terhadap kerajaan pemerintah sekarang yang diketuai Muhyiddin Yassin.

“Pada pandangan kami, peningkatan sokongan pengundi Melayu berlaku kerana pengurusan positif terhadap pandemik Covid-19, respons pantas dalam memberikan bantuan kewangan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah dan perniagaan yang terjejas,” katanya.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri dengan sokongan Umno, PAS dan parti-parti di Sarawak pada Mac lalu, susulan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan. – 2 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen