PEMILIK syarikat ruang kerja bersama mendapati perniagaan mereka mulai berkembang ketika ekonomi negara pulih perlahan-lahan akibat pandemik Covid-19.
Ruang ini yang menawarkan zon bekerja sementara, secara diam-diam mulai mengambil alih peranan pejabat tradisional yang terpaksa ditutup susulan norma penjarakan sosial dan protokol ketat kesihatan dan kebersihan ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan pada Mac.
Operator ruang kerja bersama berkata tempahan meningkat sejak kerajaan membenarkan ekonomi dan sektor pejabat dibuka semula di bawah PKP pemulihan pada pertengahan Jun.
Banyak pejabat yang memilih bekerja dari rumah juga banyak membantu perkembangan perniagaan ruang kerja bersama ini.
“Bila PKP Diperketatkan dikuatkuasakan, kami tidak ada pendapatan langsung.
“Tetapi sekarang apabila banyak pejabat ditutup akibat harga sewa yang tinggi, syarikat lebih memilih menyewa ruang kerja bersama,” kata Kelvin Chai yang mengendalikan KCX Social Office di Seksyen U13 di Shah Alam, Selangor.
Seorang lagi operator, Lilian Soo yang membuka Let’s Co Space My, juga di Shah Alam pada September 2019, senada dengan pandangan Chai.
“Secara perlahan-lahan kami mula dapat tempahan dan orang ramai mula menyewa tempat kami. Ia hanya baru-baru ini saja selepas PKPP dikuatkuasakan,” katanya.
“Kami tahu banyak perniagaan lain terjejas teruk, dan saya fikir kini ramai memilih untuk bekerja di ruang kerja bersama, berbanding menyewa keseluruhan bangunan.”
Ruang kerja bersama membolehkan individu atau kumpulan berkongsi ruang pejabat, yang boleh menjimatkan kos untuk majikan. Ia juga selesa dan mencukupi dengan adanya peralatan pejabat, utiliti dan penyambut tetamu.
Biasanya yang menyewa ruangan ini ialah mereka yang bekerja secara bebas, usahawan, syarikat yang baru dibuka serta pasukan dalam jumlah ahli kecil.
Di Malaysia, bayaran untuk ruang pejabat seperti ini ada pelbagai. Sesetengah syarikat ruang kerja bersama menawarkan keahlian di mana individu atau syarikat hanya perlu membayar sewa bulanan serendah RM160.
Syarikat atau individu mungkin menyewa ruang itu secara harian atau bulanan bergantung pada pakej ditawarkan syarikat ruang kerja berkenaan.
Ahmad Azim Kamal, jurucakap Worq, sebuah syarikat ruang kerja bersama di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, berkata dengan promosi yang baik, banyak syarikat beralih menyewa ruang kerja bersama.
“Kita melihat penambahan syarikat beralih bekerja di ruang kerja bersama kerana mereka boleh jimat duit dan dapat banyak kelebihan lain seperti diskaun,” katanya. – 3 September, 2020.
Komen