PARA pelajar memakai pelitup muka kembali bersekolah pada Selasa di Wuhan, bandar yang menyaksikan koronavirus pertama kali muncul tahun lalu, ketika ia membuka kembali sekolah dan tadika sejak tujuh bulan ditutup.
Hampir 1.4 juta pelajar menyambung kelas yang melibatkan kira-kira 2,800 tadika, sekolah rendah dan menengah rendah di seluruh bandar, selepas pembukaan semula sekolah menengah pada Mei.
Media negeri menyiarkan gambar ribuan pelajar yang mengibarkan bendera Chna - rutin harian di semua sekolah awam - walaupun terdapat amaran mengelakkan perhimpunan besar-besaran.
Sekolah diarah menyusun rancangan agar beralih kembali kepada pengajaran secara dalam talian sekiranya wabak baharu muncul, kata pegawai bandar minggu lalu.
Pelajar dinasihatkan memakai pelitup muka dan seboleh mungkin mengelak daripada menaiki pengangkutan awam seperti bas atau kereta api.
Sekolah juga diarah mengadakan latihan untuk membantu mempersiapkan diri sekiranya muncul wabak baharu.
Angka rasmi menunjukkan Wuhan menyumbang 80% daripada lebih 4,600 kematian yang berkaitan dengan koronavirus di China dan berada di bawah kawalan ketat selama lebih dua bulan, bermula hujung Januari.
Bandar ini juga menjalankan kempen ujian besar-besaran yang mensasarkan jutaan penduduk pada Mei.
China kini secara umumnya sudah mampu mengawal penyebaran virus tersebut, dan sekolah di seluruh negara - yang ditutup pada akhir Januari - secara beransur-ansur dibuka kembali.
Shanghai membuka kembali sekolah pada Mei, dan ibu negara Beijing, yang baru-baru ini menderita penularan tempatan, berkata ia akan membuka semula semua sekolah termasuk tadika pada September.
Pihak berkuasa Beijing mewajibkan guru dan pelajar memakai pelitup muka di kampus.
China belum melaporkan penularan tempatan baru koronavirus sejak beberapa hari lalu. – AFP, 2 September, 2020.
Komen