Kemenangan di Slim angkat Umno ungguli Bersatu, kata penganalisis


Zaim Ibrahim Sheridan Mahavera

Penganalisis melihat kemenangan PRK Slim menjadikan Umno mempunyai kelebihan dalam rundingan pembahagian kerusi dengan Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2020.

KEMENANGAN besar Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim hujung minggu lalu akan mengukuhkan kedudukannya sebagai parti dominan dalam kalangan pengundi Melayu dan melemahkan kedudukan Bersatu, rakan sekutunya dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beberapa penganalisis melihat kemenangan tersebut menjadikan Umno mempunyai kelebihan dalam rundingan pembahagian kerusi dengan Bersatu, iaitu parti yang juga bertanding di kawasan majoriti Melayu dan mempunyai ideologi hampir sama dengannya.

Umno juga akan menuntut satu kerjasama dalam pilihan raya akan datang melalui gabungan Muafakat Nasional (MN) atau Barisan Nasional (PN), berbanding PN yang digerakkan oleh Bersatu, kata mereka.

Perkara ini dapat dilihat ketika kempen PRK Slim yang digerakkan melalui gabungan MN dan BN, dengan kesemua kempen dihadiri dan dipimpin oleh Umno.

Sebaliknya Bersatu kini aktif mempromosikan PN, gabungan yang sudah ditubuhkan secara rasmi tetapi belum dilancarkan kerana rundingan dengan parti-parti yang akan menyertainya yang masih berjalan.

MN ditubuhkan pada September 2019 untuk mewujudkan gabungan nasionalis Islam yang dipimpin oleh Umno dan PAS ketika dua parti Melayu itu menjadi pembangkang untuk melawan kerajaan ketika itu, Pakatan Harapan (PH).

Bersatu menyertai gabungan MN bulan lalu selepas bertindak keluar daripada PH Februari lepas untuk membentuk kerajaan PN.

“Keputusan di Slim beri isyarat bahawa kerjasama Umno dan PAS dalam MN boleh jadi formula yang baik kepada mereka dalam menghadapi PRU15,” kata pensyarah sains politik Dr Mazlan Ali kepada The Malaysian Insight.

“Kemenangan itu juga beri isyarat bahawa Umno akan terus menekan Bersatu dan Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) termasuk dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan datang,” kata pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, merujuk kepada soal pembahagian kerusi membabitkan Umno dan Bersatu di Sabah.

Dengan keyakinan Umno kembali ke puncak prestasi, nampaknya Bersatu bukan parti yang boleh menarik minat Umno kerana parti Bersatu banyak bertanding di kerusi Umno pada pilihan raya umum lalu, tambah Mazlan.

“Ini mungkin beri alasan sebab kepada Umno untuk tidak kukuhkan kerjasama dengan Bersatu,” jelas beliau.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmil Tayeb pula yakin, kemenangan di Slim akan digunakan oleh Umno untuk menunjukkan parti itu paling popular dalam kalangan pengundi Melayu.

“Tidak ada sebab buat Umno-BN untuk mengalah waktu berunding dengan Bersatu kerana rekod pilihan raya setakat ini berpihak kepada mereka.

“Saya yakin ramai pemimpin dan anggota Umno akan marah jika Bersatu dibenarkan untuk bertanding di banyak kawasan majoriti Melayu,” jelas Azmil.

Calon Umno, Mohd Zaidi Aziz berjaya mengekalkan kerusi DUN Slim di tangan BN dengan jumlah undian 10,954.

Beliau memperoleh majoriti lebih tinggi berbanding penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib dalam PRU14 dengan lebih 2,183 undi.

Bertanding atas logo keramat dacing BN, Umno yang disertai PAS, MCA dan MIC berjaya memenangi semua pusat daerah mengundi majoriti Melayu yang mereka kalah pada PRU14.

Keberkesanan logo dacing pasti akan menguatkan lagi Umno untuk menuntut supaya logo itu terus digunakan dalam PRU15, berbanding apa-apa simbol PN yang bakal dilancarkan, kata Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim.

“Saya jangkakan Umno akan terus berkeras untuk menggunakan lambang BN bagi dipertaruhkan dalam PRU nanti, berbanding Bersatu yang lebih berminat untuk menggunakan nama dan lambang PN,” katanya.

Bagi Mazlan, sokongan yang kian bertambah terhadap BN akan mendorong Umno terus menekan Muhyiddin supaya membubarkan parlimen seterusnya PRU15 dapat diadakan awal.

“Dengan perkembagan ini, Umno merasakan PRU15 patut disegerakan. Inilah masanya untuk kembali ke tampuk kekuasaan dengan kembali meraih jawatan perdana menteri.

Tetapi keputusan kerajaan lanjutkan perintah kawalan pergerakan hingga 31 Disember sedikit merencatkan cita-cita Umno untuk lihat PRU15 dilaksanakan lebih awal,” jelas beliau.

Dr Awang Azman Awang Pawi berkata Umno akan menggunakan kemenangan di Slim untuk menuntut jumlah kerusi yang besar di Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2020.

Dari Slim ke Sabah

Sekalipun PRU15 mungkin diadakan beberapa bulan lagi, impak kemenangan BN di Slim pasti ada tempias dalam PRN Sabah bulan depan terutama dalam isu pembahagian kerusi membabitkan Umno dan Bersatu.

Pilihan raya negeri kali ini mempertandingkan 73 kerusi.

Seperti di Semenanjung Malaysia, Umno Sabah melihat Bersatu sebagai saingan untuk terus mengekalkan penguasaan di kawasan Borneo Utara.

Sejak 1995, Umno Sabah merupakan parti yang dominan dalam gabungan BN di negeri itu sehinggalah mereka berpecah dengan tertubuhnya Parti Warisan, yang dipimpin  Ketua Menteri Shafie Apdal.

Bersatu Sabah ditubuhkan selepas sembilan Adun Umno negeri itu bertindak keluar parti tahun lepas ketika Umno merupakan blok pembangkang.

Penganalisis politik dari Univerisiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, Umno akan menggunakan kemenangan di Slim untuk menuntut jumlah kerusi yang besar di Sabah.

“Namun suasana politik di Sabah jauh berlainan sekali dengan suasana politik Slim, iaitu walaupun Umno parti besar namun perlu bekerjasama dengan parti tempatan untuk pastikan menang dalam PRN Sabah,” kata beliau.

Pensyarah ekonomi politik, Dr Firdausi Suffian turut menjelaskan, pelbagai parti tempatan seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Solidariti Tanah Airku  (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) akan memberi kesan terhadap trend pengundian.

Malah, perbalahan berterusan antara Umno dan Bersatu akan menyebabkan dua  gabungan terbentuk iaitu BN yang dipimpin Umno serta PN dipimpin Bersatu.

Masing-masing pula akan bertanding di kerusi majoriti Melayu yang sama, kata Firdausi.

“Bersatu mahu bertanding di kerusi yang sama mereka menang ketika menjadi calon Umno pada PRU lalu. Tetapi sekarang Umno tetap mahu kerusi itu,” kata pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah.

“Calon yang bekas lompat parti mungkin tak dapat sokongan rakyat tapi ada juga antara mereka mempunyai akar umbi kuat.

“Walaupun Muhyiddin melawat Sabah hujung minggu lalu, lancarkan logo PN, tapi Bersatu pun pertama kali bertanding di Sabah,” tambahnya.

Firdausi menjelaskan, faktor utama kemenangan di Sabah nanti ialah bagaimana Umno dan Bersatu dapat mencapai kata sepakat dalam soal kerusi bertanding dan calon yang sesuai kelak.

“Seperti saya katakan PRK (Slim) tidak menentukan segala-galanya. Cuma beri satu semangat moral dan ia bukan satu faktor yang penting,” katanya. – 2 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen