Syed Saddiq dan perjuangan melawan politik lapuk


Alfian Z.M. Tahir

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu menubuhkan parti anak muda yang bertujuan melawan naratif politik lapuk negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2020.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman dalam usaha menamatkan naratif politik lapuk dengan menyatukan anak muda celik politik dalam satu parti.

Bercakap dalam sebuah forum anjuran Sinar Harian, politikus berusia 27 tahun itu berkata masanya sudah tiba untuk anak muda bergerak jauh daripada politik lapuk dan menawarkan dasar baharu yang bukan sahaja memberi manfaat kepada generasi muda tetapi juga generasi yang sudah berumur.

“Di Malaysia, ada keperluan untuk pemimpin muda, idea segar dan menentang politik lapuk,” kata Syed Saddiq yang juga merupakan pemimpin termuda pernah dilantik ke dalam Kabinet kerajaan.

“Ini bukan soal faktor umur semata-mata. Jika anda tengok Amerika, Bernie Sanders, yang pernah jadi calon presiden adalah ahli politik berusia, tetapi majoriti penyokongnya adalah orang muda.

“Itulah yang kita perlukan, bukan sahaja idea dan dasar segar dan muda, tetapi seorang pemimpin yang boleh membawa ke depan landskap politik baharu untuk Malaysia yang lebih baik, bukan sahaja untuk anak muda tetapi semua segmen kehidupan di Malaysia tanpa mengira latar belakang mereka.”

Ahli Parlimen Muar itu petah menyuarakan pandangannya tentang penubuhan parti politik orang muda.

Malah, Syed Saddiq mencadangkan yang parti baharunya akan mencabar penaung politik yang selama ini membiayai parti politik di negara ini.

“Kita perlu hentikan pembiayaan politik yang tak berkesudahan ini. Ini penting supaya taikun ini tidak lagi boleh mengawal parti politik.

“Kita perlu perkasakan pembiayaan awam tetapi perlu ada had, misalnya RM50,000 dan tidak lebih daripada itu.

“Masih tidak ada Akta Pembiayaan Politik (PFA) yang saya perjuangkan sebelum tumbangnya Pakatan Harapan,” katanya lagi.

Dua lagi ahli panel yang bersama Syed Saddiq membincangkan isu itu ialah Adun Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli dan Syahir Sulaiman, setiausaha politik kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Syed Saddiq menambah yang beliau mahu membuktikan penglibatan pelbagai kaum di negara ini adalah satu kekuatan.

“Kepelbagaian kaum, kepelbagaian agama adalah kekuataan bukan kelemahan. Minda tajam dan pemikiran kritikal orang muda akan diangkat tinggi dalam parti,” katanya ketika ditanya mengenai imej parti baharu itu.

Sementara itu, Syahir pula berkata rancangan Syed Saddiq untuk menyatukan orang muda tidak boleh dianggap jelik.

Mengakui ia tindakan yang radikal, Syahir menggesa semua parti politik mula bergerak ke arah sama.

“Saya setuju dengan naratif ini. Bagi saya, ia berani dan radikal. Ia sangat memikat generasi muda di luar sana.

“Ia patut jadi ‘wake up call’ untuk semua ahli politik lama di luar sana. Kita perlu raikan kepelbagaian,” katanya, menambah yang generasi lama perlu juga dilibatkan dalam naratif politik baharu dan mengetuai gerakan itu.

Juwairiya, Adun PKR berusia 33 tahun pula berkata, partinta sudah melakukan usaha sebegitu dengan memberi peluang kepada orang muda dalam politik.

“Menteri besar kami muda, beliau lagi muda bila diberi peluang bertanding dalam pilihan raya.

“Walaupun saya tak dinamakan dalam pilihan raya, parti beri saya peluang berkhidmat untuk penduduk di Bukit Melawati dan orang muda beri peluang kepada saya untuk buktikan yang ahli politik muda boleh diberikan kepercayaan untuk memimpin.

“Dalam PKR, ramai pemimpin muda diterima sebagai sebahagian daripada kepimpinan jawatankuasa pusat. Kami sudah buktikannya,” katanya lagi.

Juwairiya juga mengakui beliau teruja apabila Syed Saddiq mencadangkan idea pembentukan parti politik orang muda.

“Ia langkah radikal, saya perlu kata dan saya menunggu-nunggu parti baharu ini,” katanya.

Dilaporkan yang Syed Saddiq akan membuat pengumuman mengenai parti baharu itu tidak lama lagi.

Ia selepas konsensus dicapai dalam pertemuan bersama 30 orang muda Malaysia dipengerusikan beliau, minggu lepas.

Menurut Syed Saddiq, parti baharu itu tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional dan merancang bertanding di kerusi bandar dan luar bandar. – 1 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen