Walau tiada manifesto, Perikatan buat kerja baik, kata Muhyiddin


Noel Achariam

Sebagai orang Islam saya bertanggungjawab kepada rakyat, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 September, 2020.

WALAUPUN tidak ada manifesto sebagai tanda aras pencapaian, kerajaan Perikatan Nasional masih buat kerja dengan baik, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu yang meraikan ulang tahun enam bulan menjadi perdana menteri hari ini berkata, walaupun sukar mengukur prestasi PN, beliau tetap merasakan kerajaan sudah buat kerja dengan baik.

“Ini tidak bermakna bahawa saya boleh melakukan sewenang-wenangnya. Tiada manifesto bukan bermakna tiada kebertanggungjawaban atau akauntabiliti kepada rakyat. Akauntabiliti sebagai pemimpin tetap ada,” katanya. 

“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengambil berat tentang rakyat tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit. Ini keutamaan saya yang paling penting.

“Apa yang telah saya lakukan dalam tempoh enam bulan lepas adalah berasaskan prinsip ini. Saya bukan sahaja perlu menjaga kesejahteraan rakyat tetapi juga mata pencarian mereka,” katanya pada Konvensyen PN, hari ini. 

Tambahnya lagi, tugasnya sebagai perdana menteri adalah amanah Allah dan perlu dijalankan dengan sebaik mungkin. 

“Dari mula saya menjawat jawatan perdana menteri, saya bertawakal kepada Allah. Bagi saya, kedudukan saya tidaklah penting, tetapi bagaimana saya menjalankan amanah kepimpinan itulah yang paling utama.

“Amanah kepimpinan ini adalah satu ujian buat saya dan saya mesti melakukan perkara yang betul. Saya tidak boleh sekali-kali berkompromi tentang hal prinsip,” katanya.

Walaupun begitu, beliau tetap menyerahkan kepada rakyat untuk menilai prestasi kerajaan PN. 

“Ya, saya telah melakukan sebaik mungkin untuk melunaskan tanggungjawab saya kepada rakyat. Tetapi bukanlah hak saya untuk mengatakan sama ada saya telah melakukan yang terbaik. rakyatlah yang paling berhak untuk menilai,” katanya.

Memastikan kebajikan rakyat terbela adalah tangungjawab besar, katanya lagi.

“Saya terima jawatan perdana menteri dengan menggalas amanah rakyat di bahu saya. Saya bertanggungjawab kepada rakyat. Menteri-menteri yang saya lantik juga bertanggungjawab kepada rakyat. Jika kami gagal memikul amanah kepada rakyat dengan baik, kami akan dipersoalkan oleh rakyat.

“Sebab itu, kerajaan Perikatan Nasional sebaik saja dibentuk terus berfungsi sebagai kerajaan yang bekerja siang dan malam untuk membela rakyat.

“Kami tiada masa untuk berbulan madu sebagai kerajaan baharu,” katanya.

Muhyiddin berkata antara pencapaian PN adalah berjaya menangani wabak Covid-19.

“Ada hari yang kes baharu hanyalah satu angka. Kadar pulih juga sangat tinggi sebanyak 97%, dan kadar kematian kekal rendah sebanyak 1.3%.

“Sektor ekonomi juga sudah dibuka semula, dengan lebih 15 juta orang mula kembali bekerja.”

Katanya, tumpuan PN sekarang adalah kepada usaha pemulihan ekonomi menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek.

“Seperti banyak negara lain, sektor ekonomi negara kita juga terjejas teruk kerana pandemik.

“Bagaimanapun, ekonomi kita menunjukkan tanda pemulihan selepas pembukaan semula hampir semua sektor ekonomi.

“Jika trend ini berterusan, Malaysia dijangka merekodkan pertumbuhan positif tahun depan.” – 1 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen