Singapura catat 40 kes baharu Covid-19, 7 kes import


Kakitangan perubatan menjalankan ujian swab rutin terhadap pekerja migran di asrama Westlite Juniper di Singapura. – Gambar EPA, 1 September, 2020.

SINGAPURA melaporkan 40 kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di republik itu sebanyak 56,852.

“Berdasarkan siasatan setakat ini, terdapat satu kes dalam komuniti, iaitu pemegang pas kerja,” menurut Kementerian Kesihatan Singapura dalam data ringkas yang dikeluarkan hari ini.

Kementerian itu menjelaskan terdapat tujuh kes import yang semuanya diberikan Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Menerusi data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, republik berkenaan mengklasifikasikan 903 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,240 kes dalam komuniti dan 53,669 melibatkan penghuni asrama.

Seramai 55,658 pesakit yang telah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan dan telah keluar hospital atau kemudahan jagaan komuniti.

Sementara itu, 78 kes masih menerima rawatan di hospital, namun tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Seramai 1,049 pesakit yang mempunyai simptom ringan atau sihat secara klinikal tetapi disahkan positif Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 27 orang maut kerana komplikasi akibat Covid-19 di republik itu.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam. – Bernama, 1 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen