Seorang lagi maut Covid-19, kes ketiga berturut-turut minggu ini


Aminah Farid

SATU lagi kematian dicatatkan akibat Covid-19 untuk hari ketiga berturut-turut, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, menjadikan keseluruhan korban di Malaysia kini mencecah 128 orang sejak pandemik itu menular di negara ini pada hujung Januari lalu.

Korban ialah seorang wanita berumur 80 tahun yang mengidap barah paru-paru dan mempunyai rekod tekanan darah tinggi, katanya.

Wanita itu adalah antara kes positif yang dikesan dalam kalangan kluster Tawar pada 15 Ogos lalu, yang merujuk pada kes-kes jangkitan yang bermula di pekan Tawar di Baling, Kedah.

Menurut Dr Noor Hisham, wanita itu dimasukkan ke hospital selepas mengalami demam dan sakit dada pada 6 Ogos sebelum dipindahkan ke Hospital Besar Pulau Pinang pada 14 Ogos setelah disahkan positif Covid-19.

Dr Noor Hisham juga hari ini mengumumkan pihak Kementerian Kesihatan mengesan 14 kes baharu jangkitan pandemik.

Daripada 14 kes itu, sembilan melibatkan jangkitan tempatan sementara baki lima adalah kes yang dibawa dari luar negara.

Jangkitan tempatan itu melibatkan lima warganegara dan empat rakyat asing.

Daripada lima kes warganegara itu pula, dua dikesan di Kedah melibatkan kluster Tawar dan kluster Telaga.

Sementara itu, tiga kes dikesan dalam kluster Benteng LD, iaitu satu lagi kluster baharu yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan hari ini.

Kes import yang dikesan dibawa dari Ukraine, Pakistan, Indonesia, dan Filipina.

Setakat hari ini, Malaysia mengesan keseluruhan 9,075 kes jangkitan, dengan lima pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi dan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – 1 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen