PERIKATAN Nasional bukanlah kerajaan rasis kerana ia menjaga kebajikan rakyat semua kaum, kata Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin.
Mengambil contoh cara kerajaan mengendalikan wabak Covid-19, Khairil berkata ia bukti kerajaan semasa menjaga kebajikan semua orang.
“Pandemik ini adalah kejadian tak pernah berlaku sebelum ini yang menjejaskan semua orang. Kerajaan mengambil tindakan dengan memastikan kebajikan rakyat terjaga.
“PN tak rasis, mereka berjuang untuk kesaksamaan untuk semua kaum,” katanya pada Konvensyen PN hari ini, selepas enam bulan berkuasa.
Khairil juga berkata kerajaan telah membantu rakyat menerusi pakej rangsangan ekonomi.
“Kita (kerajaan) mempunyai simpanan dan kita telah gunakannya untuk bantu rakyat dan ekonomi.
“Ini melalui pakej rangsangan Prihatin di mana kerajaan memperuntukkan RM250 bilion dan dana lain.
“Ia boleh dilihat apabila ekonomi mula perlahan-lahan pulih.”
Tambahnya, dana itu diberikan terus kepada rakyat Malaysia dan tidak ada isu mana-mana kaum ketinggalan.
“Melayu dan bukan Melayu semua dapat bantuan.”
Katanya lagi, isu kemiskinan juga perlu ditangani tanpa mengira kaum atau agama.
“Ini adalah cabaran untuk kerajaan. Tetapi, Insyaallah mereka akan tanganinya.” – 1 September, 2020.
Komen