Indira Gandhi jumpa Hamid Bador Khamis ini


Noel Achariam

M Indira Gandhi gembira dengan persetujuan perjumpaan ketua polis negara dan membatalkan mogok lapar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September 2020.

INDIRA Gandhi akan berjumpa dengan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada Khamis ini di Bukit Aman, untuk berbincang mengenai kes kehilangan anaknya yang dilarikan oleh bekas suami lebih sedekad yang lalu.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) Arun Dorasamy berkata mereka membatalkan mogok lapar yang dirancang pada bulan ini selepas ketua polis negara bersetuju mengadakan pertemuan itu di ibu pejabat polis minggu ini.

“Kami sangat gembira beliau setuju untuk berjumpa. Kami akan bersama dengan Indira dan peguam,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau pertemuan itu akan disertai peguam Ambiga Sreenevasan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal. 

Bulan lepas, Indira mengumumkan hasrat mengadakan mogok lapar di depan Bukit Aman pada 11 September setelah gagal mendapatkan maklum balas daripada pihak polis mengenai perkembangan terbaharu kedudukan anaknya.

Hamid ketika itu berkata beliau setuju berjumpa dengan Indira tetapi dalam satu pertemuan empat mata yang tidak melibatkan pihak ketiga.

Indira dalam reaksinya mempersoalkan kenapa Hamid mahu berjumpa secara tertutup tanpa kehadiran peguamnya. 

Bekas guru tadika itu memberitahu The Malaysian Insight beliau terkejut dengan syarat berkenaan kerana merasakan kehadiran peguam akan membolehkan beliau mendapat penjelasan mengenai istilah perundangan.

“Saya perlukan orang untuk menasihati saya. Mereka (peguam) ada maklumat apa yang berlaku,” katanya.

Indira mahu disatukan semula dengan anak perempuan bongsunya Prasana Diksa yang dilarikan oleh bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah pada 2009.

Hamid sebelum ini menjanjikan “akhiran yang gembira” kepada kisah panjang Indira dan anaknya, yang kini sudah lebih 12 tahun.

Menurut Arun, pihaknya menunggu-nunggu pertemuan pada Khamis ini untuk mendapatkan taklimat penuh daripada pasukan petugas khas mengesan Prasana yang dibentuk pada tahun lalu.

Beliau juga berharap pertemuan minggu ini akan membuka jalan kepada penyelesaian kes tersebut secepat mungkin.

“Sudah 12 tahun, lima ketua polis negara, tiga kerajaan dan mereka masih tidak dapat kesan atau pulangkan Prasana seperti yang diperintah oleh Mahkamah Persekutuan?” tanyanya.

“Kita perlu tanyakan soalan ini – adakah kita serius mencari keadilan dengan menegakkan kedaulatan undang-undang atau kita cuba mengelak daripada tanggungjawab untuk kepentingan tertentu.

“Keadilan mesti ditegakkan,” tambahnya.

Riduan pada 2014 diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mengembalikan Prasana kepada bekas isterinya.

Beliau gagal berbuat demikian, menyebabkan satu perintah dikeluarkan memaksa pihak polis menangkapnya.

Indira juga menyaman Hamid kerana gagal mengesan anak perempuannya.

Riduan melarikan Prasana selepas menukar agama tiga anaknya dengan Indira kepada Islam. Tindakannya itu diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak sah. – 1 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen