Pemandu pelancong kini terpaksa jual sayur, jadi pemandu e-hailing


Ravin Palanisamy

Malaysia diharap dapat membuka semua sempadan untuk pelancongan dengan negara terpilih seperti Singapura dan Thailand, tapi dijangkakan ia tidak akan berlaku tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2020.

JUAL sayuran secara online, bekerja jadi pengawal keselamatan dan memandu e-hailing antara pekerjaan yang dilakukan pemandu pelancong susulan sempadan Malaysia masih terus ditutup kepada pelancong luar negara.

Separuh daripada 8,000 pemandu pelancong berlesen dianggap dalam keadaan kritikal, menurut penilaian oleh Majlis Pemandu Pelancong Malaysia (MTGC), memandangkan mereka bergantung kepada pekerjaan itu sepenuhnya sebagai sumber pendapatan utama.

Pelancong asing amat diperlukan untuk kelangsungan mereka, kerana pelancong tempatan biasanya tidak menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong untuk percutian domestik.

Dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 dibatalkan, dan sempadan masih ditutup kepada pelancong asing akibat Covid-19, pemandu pelancong Peter Raj, 54, berkata beliau tidak boleh sekadar duduk saja menunggu industri pulih semula.

“2020 sepatutnya tahun yang hebat. Saya sebelum ini dapat tempahan hingga September, tetapi semuanya dibatalkan sebaik saja perintah kawalan pergerakan (PKP) diumumkan.

“Mereka kata keadaan akan pulih tahun depan, tetapi semakin masa berlalu, keadaan masih suram. Kami tidak pasti,” kata pemandu pelancong di Selangor itu kepada The Malaysian Insight.

Raj beralih kepada perkhidmatan menawarkan latihan untuk syarikat korporat, tetapi itu pun belum ada pelanggan lagi.

Beliau tahu ada pemandu pelancong terpaksa jual sayur, jadi pengawal keselamatan dan pemandu e-hailing.

Raymond Sam kini menjual krep dari rumahnya susulan pekerjaannya sebagai pemandu pelancong terjejas teruk akibat Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight, 1 September, 2020.

 

Ahli Persatuan Pemandu Pelancong Selangor itu berkata pelanggannya sebelum ini kebanyakan dari India, dan beliau sendiri tidak yakin dengan ramalan perjalanan dunia dan ekonomi akan pulih tahun depan.

“Covid-19 bukan hanya berlaku di Malaysia. India, pasaran utama saya, pada masa ini berdepan jutaan kes, dan menghadapi waktu yang sukar. Bagaimana mereka hendak datang ke sini?

“Saya tidak rasa pemulihan akan berlaku dengan cepat,” kata Raj.

Raymond Sam, 40, seorang lagi pemandu pelancong dari Klang, Selangor berada dalam bidang itu selama lima tahun, hinggalah pandemik itu melanda.

Beliau kini menjual makanan jenis krep yang dihantar dari rumahnya, dan kini mencari peluang untuk membekalkannya ke restoran.

“Ini yang saya buat bagi menampung pendapatan saya yang hilang akibat pandemik.”

Sam berkata beliau belum lagi berputus asa untuk kembali bertugas sebagai pemandu pelancong, dan dapat menguruskan dua tugasan untuk pelancong tempatan.

“Saya bertuah bila dapat dua tugasan bila pelancongan domestik dibenarkan,” katanya.

Sam berharap Malaysia akan membuka semua sempadan untuk pelancongan dengan negara terpilih seperti Singapura dan Thailand, tapi menjangkakan ia tidak akan berlaku tahun ini. – 1 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen