Sempadan masih tutup, masa depan 4,000 pemandu pelancong suram


Ravin Palanisamy

Covid-19 yang melanda dunia menjejaskan lebih 4,000 pemandu pelancong di Malaysia, dengan kebanyakannya bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2020.

PANDEMIK Covid-19 menjejaskan lebih 4,000 pemandu pelancong di Malaysia, dengan kebanyakannya bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan ini untuk mencari rezeki.

Presiden Majlis Pemandu Pelancong Malaysia (MTGC) Jimmy Leong Wie Kong berkata terdapat lebih 8,000 pemandu pelancong berdaftar tetapi bila dikategorikan kepada “Baharu”, “Kritikal” dan “Veteran”, majlis mendapati ada yang dalam keadaan lebih teruk dari kategori lain.

“Mereka yang dalam keadaan kritikal ialah pemandu pelancong yang berada dalam bidang ini antara dua dan 25 tahun dengan purata umur antara 30 dan 50 tahun.

“Hampir 50% pemandu pelancong berlesen berada dalam kategori ini, bermakna hampir separuh pemandu pelancong berdaftar, terjejas teruk.

“Mereka dikategorikan sebagai kritikan kerana pekerjaan ini sumber pendapatan utama mereka dan menjadi tunggak dalam menyara keluarga,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Leong berkata memandangkan tidak ada jaminan masa depan dalam industri pelancongan, ramai pemandu pelancong kateorgi kritikal beralih mencari pekerjaan lain.

Ramai yang berniaga secara online atau menjadi pemandu e-hailing, kata Leong.

Pemandu pelancong yang lebih muda dan baharu kurang terjejas kerana mereka baru saja menyertai profesion ini, dan kebanyakannya tidak ada komitmen atau perlu menanggung keluarga.

Kira-kira 15% daripada jumlah pemandu pelancong berdaftar masih muda dan baharu menyertai industri ini.

Presiden MTGC Jimmy Leong Wie Kong (duduk dua dari kiri) berkata pemandu pelancong yang berada dalam industri antara dua dan 25 tahun paling teruk terjejas akibat Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight, 1 September, 2020.

Kira-kira 35% pula terdiri daripada pemandu pelancong veteran, dan berusia 50 tahun ke atas.

“Pemandu pelancong veteran tidak terjejas teruk kerana mereka ada simpanan dan sudah pun bersiap sedia untuk bersara. Kebanyakannya menjadi pemandu pelancong secara sambilan.”

Leong yang juga pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Johor berkata pandemik Covid-19 adalah krisis terburuk pernah disaksikannya sepanjang 47 tahun menjadi pemandu pelancong.

Wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003 dapat dikawal dalam tempoh lebih pendek, tetapi Covid-19 berlarutan dan masih belum menunjukkan tanda akan berakhir, katanya.

Walaupun pelancongan domestik dibenarkan sejak 10 Jun selepas perintah berkurung lebih dua bulan, Leong berkata lama lagi masa yang akan diperlukan untuk industri ini pulih kerana sempadan negara masih ditutup kepada pelancong dan pelawat luar negara.

“Pelancong domestik tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong. Mereka lebih suka pandu kereta sendiri.

“Jadi masa depan pemandu pelancong suram kerana tidak tahu apa akan jadi. Covid-19 bukan faktor yang boleh dikawal, walaupun ada SOP dan peraturan dalam mengendalikan pelancong.

“Tiada jaminan, sampailah vaksin ditemui.” – 1 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen