WHO gesa dialog dengan kumpulan protes sekatan virus


Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata ia menyokong penuh usaha membuka kembali ekonomi dan masyarakat tetapi menggesa dilakukan dengan selamat. – Gambar AFP, 1 September, 2020.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mendesak kerajaan pada Isnin agar berinteraksi dengan pihak yang berdemonstrasi menentang larangan Covid-19 dan mendengar kebimbangan mereka, tetapi menegaskan para penunjuk perasaan perlu memahami yang virus itu berbahaya.

Ditanya mengenai demonstrasi baru-baru ini di beberapa negara terhadap sekatan koronavirus, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata penting “mendengarkan pertanyaan dan kata-kata orang”.

“Kita harus terlibat dalam dialog yang jujur,” katanya kepada wartawan, menekankan walaupun penunjuk perasaan perlu bertanggungjawab memastikan protes aman.

“Virus itu nyata. Ia berbahaya. Ia bergerak pantas dan membunuh,” katanya sambil menegaskan, “kita harus melakukan segala-galanya untuk melindungi diri dan orang lain”.

Polis Jerman pada Sabtu menghentikan protes di Berlin dilakukan puluhan ribu orang yang menentang sekatan koronavirus terhadap peraturan pemakaian pelitup muka dan pencegahan antivirus lain.

Ratusan penunjuk perasaan Berlin kemudian merempuh sekatan dan polis untuk menyerbu Parlimen Jerman, tindakan yang disifatkan Canselor Jerman Angela Merkel sebagai “memalukan”.

Bercakap mengenai protes yang lebih besar, Ketua Darurat WHO Michael Ryan menegaskan “wabak dan darurat menimbulkan emosi yang kuat, dan penerimaan tindakan selalunya sukar.

“Sangat penting kerajaan tidak bertindak balas secara berlebihan terhadap mereka yang memprotes tindakan,” katanya semasa taklimat secara maya.

“Perkara penting yang perlu dilakukan adalah mengadakan dialog dengan kumpulan.”

Tedros berkata beliau sedar kekecewaan yang semakin meningkat ketika orang ramai terus berdepan sekatan selama lapan bulan dalam wabak tersebut.

“Kami faham rakyat letih dan rindu untuk meneruskan kehidupan mereka. Kami memahami negara ingin masyarakat dan ekonomi mereka berjalan semula,” katanya.

Badan kesihatan PBB itu menyokong penuh usaha membuka kembali ekonomi dan masyarakat tetapi mahu ia dilakukan dengan selamat.

Tedros juga berkata tiada negara yang boleh berpura-pura bahawa pandemik sudah berakhir.

“Jika negara serius untuk dibuka, mereka harus serius mengekang penularan dan menyelamatkan nyawa,” katanya dan menegaskan kegagalan berbuat demikian mengundang bencana. – AFP, 1 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen