Peminjam bakal ikat perut selepas moratorium pinjaman berakhir


Ragananthini Vethasalam

Moratorium pinjaman bersasar sehingga bulan 12 tahun ini menyukarkan sebahagian peminjam bank. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2020.

MENJELANG penghujung moratorium pinjaman enam bulan, peminjam bersiap untuk mula membayar semula pinjaman mereka.

Ada sebahagian mereka menggunakan simpanan untuk membayar pinjaman, ada juga sesetengah yang merancang untuk mengurangkan perbelanjaan, namun sudah tiba waktu untuk mereka menghadapi pembayaran semula pinjaman setelah penangguhan moratorium tersebut.

Pada akhir bulan ini, moratorium automatik yang diberikan oleh bank bagi mengurangkan kesan Covid-19 terhadap individu dan perniagaan akan berakhir.

Lanjutan moratorium hanya akan dibenarkan berdasarkan sasaran selama tiga bulan lagi. 

Bagaimanapun hakikatnya, mereka yang kehilangan pekerjaan sewaktu tempoh wabak melanda negara masih belum mendapat pekerjaan baharu, sementara mereka yang dipotong gaji akan mengurangkan ansuran bulanan mereka.

Seorang kakitangan syarikat penerbangan yang diberhentikan kerja, Diana Mustafa diberi pilihan oleh banknya untuk melanjutkan moratorium pinjaman kereta atau menjadualkan semula pembayaran.

Wanita berusia 27 tahun itu berkata beliau memilih penjadualan semula pembayaran kerana menurutnya syarat diberikan bank tersebut adalah munasabah.

“Saya membeli kereta saya pada akhir 2017. Sudah lebih tiga tahun dan saya membayar RM1,400 setiap bulan.

“Ketika saya kehilangan pekerjaan, saya memikirkan bagaimana dapat menguruskan pembayaran bulanan. Saya beritahu tuan rumah yang saya akan menamatkan kontrak (sewa) dan tinggal bersama ibu bapa saya sekarang,” katanya.

Di bawah pilihan penjadualan semula, jangka masa pinjamannya akan dilanjutkan dari enam tahun hingga 12 tahun dengan pembayaran ansuran yang lebih rendah dengan kadar faedah yang sama.

Peminjam lain yang mahu dikenali sebagai Dev berkata beliau juga akan meneruskan pembayaran ansuran bulanan atas pinjaman keretanya.

“Perniagaan masih agak perlahan tetapi tujuan saya adalah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai peminjam. Saya perlu paksa diri.

“Anda tidak punya pilihan, atau mereka akan mengetuk pintu rumah anda,” kata Dev yang syarikatnya terlibat dalam industri layar perak.

Mempunyai kurang dua tahun untuk menyelesaikan pembayaran namun menghadapi masalah perniagaan, Dev berkata beliau terpaksa menggunakan wang tunai untuk membayar pinjaman walaupun ini bermaksud mengurangkan perbelanjaan lain.

“Anda harus membayar pinjaman juga akhirnya. Jadi, sebaiknya terus bayar dan selesaikannya lebih cepat.”

Walaupun lanjutan moratorium bersasar membenarkan ansuran dikurangkan bagi mereka yang menerima potongan gaji semasa wabak, Michael Ong berkata beliau akan meneruskan pembayaran semula pinjaman secara bulanan walaupun berdepan potongan gaji sebanyak 30%. – 1 September, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen