EKONOMI Turki menyusut sebanyak 9.9% antara April dan Jun berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Bacaan ekonomi pertama sejak penularan wabak Covid-19 itu didedahkan pada Isnin.
Jumlah penyusutan tersebut bagaimanapun lebih kecil dari 10.7% yang dijangka Bloomberg dan tidak begitu buruk seperti yang dialami pasaran besar lain yang baharu muncul.
Penyusutan tersebut juga sejajar dengan kelembapan ekonomi yang dialami di seluruh Eropah selepas beberapa minggu menyaksikan perintah berkurung dilaksanakan pada bulan Mac lalu.
Ekonomi Turki tumbuh seanyak 4.5% dalam masa tiga bulan pertama tahun ini ketika ia mula keluar daripada krisis ekonomi buruk pada 2018.
Pandemik Covid-19 memaksa bank pusat Turki menurunkan kadar faedah di samping turut menyuntik wang tunai ke dalam ekonomi bagi membantu perniagaan dan isi rumah rakyatnya.
Namun langkah-langkah tersebut kini dilihat merugikan negara itu.
Mata wang lira Turki telah kehilangan sekitar lima kali nilainya berbanding dolar tahun ini dan inflasi tahunan negara itu melambung sekitar 12%.
Bank pusat bertindak balas dengan memperketat akses kepada kredit tanpa menaikkan kadar faedah utama yang menjadi kelebihan politik bagi Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.
Langkah-langkah tersebut bertujuan melambatkan inflasi dan meningkatkan daya tarikan bon Turki dan instrumen kewangan lain.
Bagaimanapun, pelabur asing masih menarik diri dari pasaran Turki dan bank pusat terpaksa menanggung rizab mata wang bagi menyokong lira.
Pelabur bimbang jika Turki mungkin terpaksa mengenakan kawalan mata wang dan menaikkan tarif import bagi menaikkan mata wang dolar dan euro.
Erdogan menolak konsensus ekonomi dan percaya kadar faedah yang lebih tinggi boleh menyebabkan inflasi. – AFP, 31 Ogos, 2020.
Komen