Kematian akibat Covid-19 cecah 127 kes hari ini


Kematian hari ini adalah kes kematian kedua dalam tempoh dua hari berturut-turut. Kes terbaharu itu menjadikan jumlah kematian keseluruhan adalah 127 orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2020.

MALAYSIA mencatatkan satu lagi kematian baharu akibat Covid-19 hari ini. 

Kematian hari ini adalah kes kematian kedua dalam tempoh dua hari berturut-turut. Kes terbaharu itu menjadikan jumlah kematian keseluruhan adalah 127 orang.

Kematian ke-126 yang dicatatkan semalam adalah yang pertama dalam sebulan selepas kes terakhir dilaporkan pada 31 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata bahawa terdapat enam kes baharu dicatat sehingga tengah hari tadi, dan enam kes pulih dicatat.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 setakat ini adalah 9,054 kes sementara jumlah kes pulih adalah 9,340 selain 159 kes aktif dicatatkan.

Kes kematian tersebut adalah seorang lelaki berusia 62 tahun, pesakit yang merupakan salah satu kes positif di kluster Tawar.

Lelaki itu memiliki sejarah penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

Dia dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah pada 13 Ogos setelah mengalami simptom batuk.

“Keadaannya bertambah buruk dan dia diletakkan di bawah bantuan pernafasan sejak 19 Ogos,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham hari ini.

Lelaki itu disahkan meninggal dunia pada pukul 10.35 malam pada 30 Ogos.

Kluster Tawar dan Telaga masing-masing melaporkan satu jangkitan baharu, menyumbang dua kes penularan tempatan.

Kedua-dua kes tersebut melibatkan warga Malaysia.

Baki sebanyak empat kes adalah kes import.

Enam pesakit kini ditempatkan di unit rawatan rapi, dan empat kes memerlukan bantuan pernafasan. – 31 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen