Kes Covid-19 di AS hampir 6 juta


Sebanyak 5.99 juta kes direkodkan di AS sehingga kini, dengan 183,000 kematian. – Gambar EPA, 31 Ogos, 2020.

JUMLAH kes jangkitan Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) menghampiri 6 juta semalam, iaitu hampir satu perempat jumlah keseluruhan yang direkod di seluruh dunia.

Sebanyak 5.99 juta kes telah direkodkan di AS setakat semalam, dengan 183,000 kematian, menurut data yang dikeluarkan Johns Hopkins University.

Jumlah kes positif Covid-19 di AS mencecah angka 5 juta tiga minggu lalu, hanya 17 hari selepas merekod 4 juta kes, kata universiti itu.

Sebanyak sejuta kes baharu dikesan di seluruh dunia secara purata dalam setiap empat hari, sejak pertengahan Julai. 

India misalnya, melaporkan 78,761 kes baharu dalam tempoh 24 jam semalam, sekaligus merekod angka harian tertinggi di dunia.

Virus Covid-19 sehingga kini menjangkiti lebih 25 juta orang dan meragut hampir 855,000 nyawa. 

Memandangkan masih belum ada vaksin atau rawatan yang berkesan bagi jangkitan Covid-19, banyak negara melaksanakan perintah sekatan pergerakan bagi membendung penularan wabak. – AFP, 31 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen