BERATUS orang di Boston, di Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) semalam membantah peraturan baharu mewajibkan suntikan selesema ke atas pelajar untuk mengurangkan kesan pandemik Covid-19.
Massachusetts negeri pertama pada 19 Ogos lalu menambah selesema bermusim dalam senarai suntikan wajib, walaupun terdapat pengecualian atas sebab agama atau kesihatan.
Kira-kira 70% sekolah di Massachusetts bercadang untuk membuka semula kelas pada musim luruh.
Peserta yang berkumpul secara aman di luar bangunan Dewan Negeri, membantah peraturan baharu itu, yang disifatkan melanggar hak individu.
Mereka terdiri daripada ibu bapa bersama anak masing-masing. Turut menyertai mereka adalah wakil profesion paramedik seperti Carla Leclerc, yang merupakan kiropraktor.
“Saya membantah keras cadangan suntikan vaksin dan sebarang kewajipan. Ia sepatutnya menjadi pilihan ibu bapa sama ada untuk memberi vaksin kepada anak mereka, terutamanya suntikan selesema yang tidak selamat, perlu atau berkesan,” katanya kepada AFP.
Beberapa pegawai kesihatan kerajaan AS termasuk Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Robert Redfield sebelum ini menyeru rakyat negara itu mendapatkan suntikan selesema bermusim tahun ini.
Mereka berkata suntikan tersebut dapat mencegah krisis kesihatan yang lebih buruk akibat Covid-19. Bagaimanapun, tidak disebut bahawa suntikan diwajibkan.
Massachusetts, di bawah Gabenor Charlie Baker dari Republikan, merupakan antara negeri yang teruk terjejas akibat wabak Covid-19 ketika virus itu mula melanda AS. – AFP, 31 Ogos, 2020.
Komen