Satu kematian Covid-19 baharu dicatat


Ragananthini Vethasalam

MALAYSIA hari ini melaporkan kematian Covid-19 pertama selepas hampir sebulan, menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu sebanyak 126 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham hari ini.

Kes kematian yang dicatatkan melibatkan seorang lelaki berusia 75 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan Penyakit paru-paru Obstruktif Kronik (COPD).

Lelaki yang tidak memiliki sejarah perjalanan ke luar negara itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah pada 7 Ogos setelah mengalami batuk dan sukar bernafas dan dibenarkan pulang pada 18 Ogos.

Dia sekali lagi dimasukkan ke hospital pada 24 Ogos setelah simptom berulang semula.

“Ujian Covid-19 menunjukkan bahawa dia positif. Keadaannya bertambah buruk dan disahkan meninggal dunia pada 29 Ogos 2020 jam 5.10 petang, ”kata Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Kali terakhir kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Malaysia adalah pada 31 Julai.

Sementara itu, terdapat 17 kes Covid-19 baharu yang dilaporkan pada tengah hari tadu, di mana hanya dua kes disebarkan melalui penularan tempatan.

Kes-kes baharu yang dicatat menjadikan jumlah jangkitan di seluruh negara menjadi 9,334.

Dua kes penularan tempatan dikesan semasa pemeriksaan kontak rapat di Kedah dan Selangor. Kedua-dua kes tersebut melibatkan warganegara.

Baki 15 kes yang dilaporkan hari ini adalah kes import.

Sepuluh orang dibenarkan pulang dalam masa 24 jam terakhir setelah pulih dari Covid-19.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih menjadi 9,048. Sementara itu, kes aktif ketika ini ialah 160 kes.

Tujuh pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lima daripadanya memerlukan bantuan sokongan pernafasan. – 30 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen