PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin menggesa pimpinan politik di Sabah supaya bersatu hati untuk bekerja sebagai satu pasukan dalam usaha membangunkan negeri.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata dalam persekitaran normal baharu, semua parti poltik sama ada Bersatu, Umno, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Maju Sabah (SAPP) , Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), MCA atau PAS perlu duduk berbincang tentang kepentingan rakyat.
“Kita semua orang Malaysia. Ini adalah masa dalam normal baharu ini, seharusnya ada politik normal baharu untuk kita duduk semeja, berunding dan berbincang untuk kepentingan rakyat khususnya hari ini adalah untuk rakyat di Sabah, (tunjukkan) bahawa kita adalah satu.
“Kita bekerja sebagai satu pasukan untuk memperoleh kejayaan seterusnya membina dan majukan Sabah untuk rakyat Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Sabah malam ini.
Turut hadir Ketua Pimpinan Bersatu Sabah Hajiji Noor; Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin; Presiden STAR Dr Jeffrey Kitingan; Timbalan Presiden PBS Radin Malleh; Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup;
Majlis itu turut dihadiri Ketua MCA Sabah Lu Yen Tung; Presiden SAPP Yong Teck Lee, Ketua Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling, dan bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman.
Muhyiddin berkata perkara utama sekarang adalah untuk melihat situasi politik negeri ini kukuh dan stabil, justeru kerjasama pemimpin parti politik adalah penting dalam merealisasikan hasrat itu.
“Bila suasana politik negeri stabil, ini bantu tentukan segala perancangan pembangunan dan ekonomi berjalan licin dan lancar, kerana itu saya berada di sini untuk tinjau perkembangan mutakhir berlaku di Sabah gambaran lebih dekat apa berlaku di sini,” katanya. – Bernama, 30 Ogos, 2020.
Komen