Speaker Parlimen digesa perintah Zawawi mohon maaf hina Kristian


Bandar Kuching MP Dr Kelvin Yii Yii berkata bahawa penggubal undang-undang harus menjadi contoh dalam mempromosikan perpaduan dan bukannya memecahbelahkan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2020.

AHLI Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii mahu Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memerintahkan ahli Parlimen PAS memohon maaf kepada penganut Kristian dan rakyat Malaysia atas ucapan yang dianggap menghina.

Beliau kesal atas keengganan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh memohon maaf atas ucapan beliau yang dianggap menghina kepercayaan Kristian, Yii berkata bahawa beliau telah menulis surat kepada Azhar mengenai perkara itu.

Ahli Parlimen DAP itu merujuk kepada kenyataan Zawawi bahawa beliau tidak akan meminta maaf berhubung ucapannya di Parlimen minggu lalu bahawa kitab Injil telah “dipesongkan” dan penganut Kristian tidak mempunyai “hak untuk tersinggung”.

Yii berkata ini menunjukkan bahawa kurangnya persefahaman dan kepekaan berhubung sensitiviti bukan hanya terhadap komuniti Kristian, tetapi semua komuniti dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

“Walaupun saya percaya masyarakat Kristian tidak akan bertindak keras dan tidak mudah tersinggung kerana mereka aman dalam iman mereka dan merasa tidak perlu membela Tuhan mereka, saya percaya perlu ada aturan yang tepat ditetapkan di Dewan Parlimen di mana kenyataan seperti itu tidak boleh dibuat,” kata ahli Parlimen Bandar Kuching hari ini.

Yii turut menambah bahawa penggubal undang-undang harus memberi contoh dalam mempromosikan perpaduan dan bukannya memecahbelahkan rakyat.
 
“Itulah sebabnya saya akan gesa selesaikan masalah ini, bukan kerana saya tersinggung atau tidak dapat memaafkan, tetapi kita perlu membuat catatan rekod yang jelas bahawa tidak ada orang yang boleh melangkaui undang-undang bahkan di Parlimen,” katanya.

Yii juga memuat naik salinan surat yang telah dihantar kepada Azhar, yang turut dihantar kepada setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

Dalam surat itu, beliau meminta Azhar untuk memerintahkan Zawawi menarik kembali kenyataannya dan meminta maaf secara terbuka kepada orang Kristian dan rakyat Malaysia.

“Minggu lalu, saya telah mengirim surat kepada Speaker Parlimen berdasarkan Perintah Tetap 36 (10) (c) bagi mendapatkan keputusan berhubung kenyataan yang dibuat oleh YB Pasir Puteh (PAS) yang melanggar batas dan boleh dianggap menghina kepercayaan Kristian,” katanya.

Yii juga telah membangkitkan perkara itu di Parlimen pada 27 Ogos lalu.

Sementara itu, timbalan ketua menteri Sarawak Douglas Uggah Embas mendesak orang ramai untuk tetap bertenang kerana negara ini mempunyai undang-undang untuk pihak berkuasa menangani kenyataan tersebut.

Buat masa ini, beliau meminta orang ramai untuk tidak terlibat dalam perbahasan atau perkongsian yang semakin hangat di media sosial dan cetak.

Zawawi telah menyebabkan kemarahan penganut Kristian dengan mengatakan bahawa kitab Injil telah “dipesongkan” minggu lalu di Parlimen.

Sejak kenyataan tersebut tular, beberapa tokoh termasuk pemimpin agama Kristian dan ahli politik menuntut agar beliau memohon maaf atas ucapan tersebut.

Zawawi, bagaimanapun, enggan melakukannya.

“Saya tidak akan minta maaf… Minta maaf, apa saya (kata) tak salah. Saya bercakap atas dasar ilmu yang (saya) belajar, fakta saya terima.

“Dan dalam al-Quran pun ada sebut, dan takkan Al-Quran tak betul. Sebab itu saya yakin,” katanya yang menjawab tuntutan dari Persatuan Gereja Sarawak.

“Namun jika persatuan Kristian itu tidak berpuas hati dengan kenyataannya ia perlu diselesaikan dengan dialog secara harmoni yang diadakan secara terbuka untuk dinilai rakyat.

“Kalau dia rasa kenyataan saya tak betul boleh buat dialog harmoni tapi syarat terbuka lah saya tak nak tertutup.

“Elok terbuka, saya beri hujah fakta dan umum akan menilai. Mudah-mudahan kita dapat cari kebenaran apa sebenarnya berlaku dalam kitab lama seperti Injil.” katanya.

Persatuan Gereja Sarawak mahu beliau menarik balik kenyataan dan memohon maaf atas kenyataan berkaitkan amalan minum arak dan juga mengenai kitab Injil

Zawawi membuat pernyataan yang menyinggung perasaan itu ketika membahaskan rang undang-undang untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi meningkatkan hukuman terhadap pemandu mabuk.

Beliau berkata langkah kerajaan untuk meminda undang-undang tidak boleh dianggap sebagai masalah agama kerana tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum alkohol.

“Dari apa yang saya pelajari mempelajari agama perbandingan, tidak ada kepercayaan yang membenarkan penganutnya meminum alkohol. Tidak ada agama. Bukan agama Buddha, Hindu atau yang lain membenarkannya.

“Ini tidak seharusnya menjadi isu sensitif bagi penganut agama lain,” kata Zawawi.

Zawawi kemudian ditegur oleh Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Khoo Ham, yang berkata bahawa ahli Parlimen PAS itu salah kerana agama lain membenarkan pengambilan alkohol tetapi tidak sampai ke tahap mabuk.

Zawawi bagaimanapun menolak penjelasan Ngeh, dengan alasan bahawa “sebelum Injil dipesongkan, agama Kristian telah melarang alkohol”.– 30 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen