Lebih 78,000 kes baharu Covid-19 di India


Petugas kesihatan India sedang menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas seorang kakitangan kerajaan di Guwahati, Assam. – Gambar EPA, 30 Ogos, 2020.

INDIA hari ini melaporkan 78,761 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.

Ini menjadikan India mengatasi angka harian tertinggi yang direkodkan Amerika Syarikat (AS)pada 17 Julai lalu, iaitu 77,638  kes.

Jika mengikut jumlah keseluruhan kes positif, India yang mempunyai 1.3 penduduk , berada di tempat ketiga selepas AS dan Brazil.

Seramai 63,000 orang juga dilaporkan maut akibat Covid-19 di India.

Jumlah kes baharu yang tinggi itu sehari selepas kerajaan melonggarkan perintah berkurung bagi membendung pandemik Covid-19, yang dikuatkuasakan sejak hujung Mac. Sekatan dilonggarkan untuk menggerakkan ekonomi.

Berjuta rakyat negara itu hilang kerja sejak perintah berkurung dilaksanakan.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri India hanya membenarkan perhimpunan tidak lebih 100 orang bagi acara kebudayaan, hiburan, sukan dan politik mulai September.

Orang ramai juga diwajibkan memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.

Perkhidmatan kereta api juga dibenarkan beroperasi secara berperingkat di bandar-bandar utama.

Sekolah pula masih ditutup, tetapi murid dibenarkan berjumpa guru di sekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Kes Covid-19 sebelum ini melonjak di Mumbai dan New Delhi, tetapi kini meningkat di kawasan luar bandar. – AFP, 30 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen