UMNO tidak perlu keluar dari Kabinet hanya kerana tidak setuju dengan langkah parti rakannya membuka keanggotaan kepada bukan Melayu, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Annuar Musa.
Katanya, gesaan oleh penasihat parti Tengku Razaleigh Hamzah itu hanyalah pandangan peribadi pemimpin veteran tersebut dan tidak mewakili keputusan parti.
“Saya terus terang pandangan itu tak gambarkan pendirian parti,” tegas Annuar ketika ditanya dalam sidang media hari ini.
Dasar kerjasama politik Perikatan Nasional (PN) sebenarnya adalah tidak mencampuri urusan parti masing-masing, tambah setiausaha agung BN itu.
“Ada tiga perkara penting – yang pertama urusan dan dasar parti politik sahabat terutama dalam parti politk dalam PN adalah urusan parti masing-masing dan tidak harus dicampuri parti lain.
“PAS ada dasar mereka, (seperti juga) Umno, MIC, MCA. Itu kena hormati dan kita tidak harus mencampuri urusan itu
“Jadi tidak ada berbangkit isu kerana Bersatu terima ahli bukan Melayu maka kita pula kena berpecah dalam Kabinet,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau menjawab gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh supaya pemimpin Umno menarik diri daripada kerajaan.
Katanya tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan Melayu menjadikan parti itu tidak layak berada dalam “pakatan Melayu-Islam” Muafakat Nasional (MN).
Mengulas lanjut, Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan berkata keputusan Bersatu itu merupakan perkembangan sihat dan Umno sebenarnya patut mempertimbangkan perkara sama.
Jelasnya Umno juga mempunyai ahlinya yang pelbagai kaum dan agama seperti etnik Kadazan, Dusun dan Siam, katanya.
“Umno sendiri adalah parti yang mempunyai pelbagai kaum dan agama. Kita ada 300,000 ahli bukan Islam seperti Kadazan Dusun, Siam, ramai ahli kita di Sarawak bukan Islam.
“Begitu juga PAS. Mereka juga ada sayap bukan Islam kelab penyokong itu cara hidup di malaysia. Apa kenyataan menggambarkan perkauman sempit itu ketinggalan bagi saya.
“Umno juga patut fikir ke arah itu tapi kaedah pelaksanaan pelbagai misalnya ada ahli bersekutu bergabung pada masa kita jadi anggota kepada BN iaitu parti pelbagai kaum,” katanya.
Bersatu kini sedang mempertimbangkan untuk membolehkan anggota bukan Melayu dan bukan Islam menjawat jawatan tertentu dalam parti itu.
Ia ekoran penyertaan 11 orang ahli Parlimen diketuai bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali ke dalam parti tersebut. – 30 Ogos, 2020.
Komen