Brazil lepasi 120,000 kematian akibat Covid-19


Presiden Brazil Jair Bolsonaro dilihat gagal menangani krisis Covid-19 dengan jumlah kematian kini melepasi angka 120,000. – Gambar EP, 30 Ogos, 2020.

HANYA lebih enam bulan selepas mendaftarkan kes pertama koronavirus, Brazil kini melepasi angka 120,000 kematian akibat Covid-19 pada Sabtu, tanpa petanda krisis akan berakhir.

Negara mempunyai 212 juta penduduk itu kini mencatatkan 120,262 kematian akibat virus dan 3,846,153 jangkitan, kata kementerian kesihatan dalam kemas kini hariannya.

Brazil adalah negara kedua yang melepasi angka kematian 120,000 akibat wabak tersebut, selepas Amerika Syarikat (AS), yang kini mencecah lebih 182,000.

Tidak seperti di Eropah dan Asia, di mana virus itu menyerang dengan kuat dan kemudian mereda, wabak di Brazil berkembang perlahan tetapi stabil, kata Christovam Barcellos, seorang penyelidik di institut kesihatan awam Fiocruz.

“Brazil paling unik di dunia. Sejak awal pandemik, lengkungannya berbeza dengan negara lain, jauh lebih perlahan,” katanya kepada AFP.

“Ia kini stabil tetapi pada tahap yang sangat berbahaya: hampir 1,000 kematian dan 40,000 kes sehari….dan Brazil masih belum mencapai puncaknya.”

Wabak ini juga mengubah lanskap politik di negara terbesar di Amerika Latin itu.

Presiden Jair Bolsonaro meremehkan virus tersebut dan mengecam gabenor dan datuk bandar yang mengambil tindakan perintah berkurung, dengan alasan kerosakan ekonomi lebih buruk berbanding penyakit itu sendiri.

Pemimpin sayap kanan itu sebaliknya mempromosikan ubat hidroksiklorokuin sebagai penyelesaian krisis kesihatan, walaupun terdapat kajian menunjukkan ia tidak berkesan terhadap Covid-19.

Beliau sekali lagi berkata pada Sabtu yang ubat kontroversi itu “menyelamatkan nyawa ribuan mangsa” di Brazil.

Bolsonaro bahkan mengambil apa yang disebutnya sebagai ubat “sayap kanan” ketika beliau didiagnosis dengan virus itu pada Julai.

“Ia cara mengejutkan (Bolsonaro) menangani perkara ini. Bukan hanya penolakannya…beliau sering melampaui batas dengan tidak menghormati mangsa,” kata penganalisis politik Michael Mohallem daripada Yayasan Getulio Vargas.

“Jumlah kematian sangat tinggi,” katanya kepada AFP. “Saya rasa suatu hari nanti beliau akan menerima akibatnya.”

Sementara itu, virus terus merebak di kalangan kumpulan demografi yang lebih berisiko dan ke kawasan pedalaman di negara ini.

Penduduk miskin dari kawasan berkepadatan tinggi adalah paling terus terjejas.

Begitu juga dengan kumpulan Orang Asli di hutan hujan Amazon, yang mempunyai sejarah kerentanan terhadap penyakit luar. – AFP, 30 Ogos 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen