SEPERTI dijangka, Mohd Zaidi Aziz daripada Barisan Nasional (BN) akan memenangi pilihan raya Kecil (PRK) Slim semalam.
Namun kemenangan memberangsangkan terutama di kawasan majoriti Cina dan India, menaikkan keyakinan pakatan politik kerajaan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata penganalisis.
“Bukan sekadar menang di Slim, mereka gembira jika menangi tempat mengundi yang sebelumnya mereka tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14,” kata Pengarah Penyelidikan Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim.
“Kemenangan di Slim memberi keyakinan kepada BN untuk menghadapi PRU15, yang dijangka diadakan tidak lama lagi,” kata pensyarah Universiti Malaysia Terengganu itu kepada The Malaysian Insight.
Menurut data awal Ilham Centre, BN berjaya memperoleh semula sokongan di kawasan pusat pengundian yang didominasi kaumm India dan Cina - Ladang Sungkai, Pekan Lama dan Pekan Slim.
Ketiga-tiga kawasan ini menyokong PH pada PRU14.
Selain itu, BN masih kukuh di tujuh permukiman Felda selepas mendapat undi penyokong PAS pada kiraan terakhir sebanyak 13,060 undi, berbanding 2,115 undi yang diperolehi Pejuang.
Namun hadiah saguhati untuk Pejuang, apabila calonnya bertanding sebagai calon bebas kerana tidak kehilangan deposit selepas mendapat 13.7% undi daripada jumlah keseluruhan undi (15,451). Seorang lagi calon bebas, S Santharasekaran, hanya memperolehi 276 undi.
Analisis awal Ilham juga menunjukkan BN memperoleh sekitar 91% undi orang Melayu berbanding 9% untuk Pejuang.
Analisis awal juga menunjukkan 68% pengundi Cina dan 61% pengundi India memilih BN.
Pada PRU14, 51% orang Melayu memilih BN sementara hanya 18% orang Cina dan 24% orang India mengundi BN.
Ilham Centre akan membentangkan analisis penuh bagi PRK Slim di Universiti Malaya pada 4 September depan.
Faktor Muafakat Nasional dan Najib
Pengasas Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) Senator Khairul Azwan Harun berkata formula Muafakat Nasional (MN) berfungsi dengan baik untuk BN di Slim.
“Parti Pejuang Dr Mahathir Mohamad masih baharu dan tidak dijangka membuat kemunculan pertama yang bergaya. Lebih-lebih lagi, di lapangan jentera BN dan PAS bekerjasama tanpa banyak penyertaan daripada Bersatu,” kata Khairul Azwan.
Faktor lain yang membantu BN, kata penganalisis politik, adalah bekas perdana menteri Najib Razak yang merupakan salah satu penyokong kempen BN paling rajin.
“Najib adalah penarik orang ramai bagi BN dan ceramah terakhirnya pada Jumaat menarik ribuan orang,” kata Khairul Azwan.
Bekas timbalan ketua pemuda Umno itu, bagaimanapun, mengingatkan tiada jaminan kemenangan serupa akan berulang pada PRU15.
“Pengundi mahukan cadangan dasar dan ekonomi lebih baik serta lebih banyak peluang pekerjaan. Parti yang menyediakan dasar lebih baik akan menang.
PRU15 mesti diadakan pada suku ketiga 2023 walaupun terdapat spekulasi pilihan raya awal sebelum itu susulan majoriti tipis dimiliki kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin Yassin di Parlimen.
Pada masa ini, PN memiliki 113 di antara barisannya di Parlimen 222 kerusi. – 30 Ogos, 2020.
Berita penuh di sini
Komen