PUTRAJAYA harus melanjutkan moratorium pinjaman bank dan menyuntik bantuan kewangan tambahan bagi mengelakkan kesan ekonomi yang negatif, kata Lim Guan Eng.
Ahli Parlimen Bagan itu mengeluarkan kenyataan tersebut berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumum akan dilanjutkan sehingga hujung tahun ini.
Setiausaha Agung DAP itu juga berkata bahawa PKPP yang diteruskan tanpa melanjutkan moratorium pinjaman bank sebanyak 6 bulan dan suntikan tambahan sebanyak RM45 bilion kepada Dana Ekonomi Covid-19 akan memberi kesan buruk dalam usaha menyelamatkan pekerjaan di Malaysia, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan pengeluar.
“Perdana menteri harus menyedari melanjutkan PKPP akan membawa kesan negatif kepada ekonomi yang harus ditanggung dengan bantuan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas menteri kewangan itu berkata langkah-langkah ekonomi yang bertindak pantas adalah diperlukan untuk menarik Malaysia keluar dari kemelesetan dengan lebih cepat setelah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan prestasi terburuk di kalangan negara serantau dengan penurunan 17.1% pada suku kedua.
“Mengapa perlu tunggu hingga tahun depan jika kerajaan boleh bantu sekarang? Menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan mesti menjadi keutamaan ketika ini, jangan tunggu hingga tahun depan,” tegasnya lagi.
Beliau turut berkata bahawa perniagaan dan pekerja akan lega mendengar pengumuman mengenai bantuan kewangan untuk memacu ekonomi dengan jaminan bahawa wabak itu tetap terkawal.
Memetik contoh, Lim berkata lebih 41% pengeluar Malaysia berkata bahawa mereka hanya akan dapat bertahan kurang dari satu tahun setelah melaporkan kerugian akibat PKP ketika wabak Covid-19 menular.
Di samping itu, beliau berkata negara ini melaporkan kadar pengangguran yang tinggi iaitu sebanyak 4.9% pada bulan Jun yang menyaksikan kerjaya seperti juruterbang terpaksa melakukan pekerjaan-pekerjaan lain.
“Lebih buruk lagi adalah pemotongan gaji. Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan April, melaporkan 84% pekerja swasta mengalami pemotongan gaji sementara Bank Negara Malaysia juga melaporkan bahawa pada suku kedua, gaji swasta turun sebanyak 5.6% daripada tahun lalu,” katanya.
“Lanjutan moratorium pinjaman bank perlu dilakukan selama 6 bulan lagi. 8 juta individu dan syarikat Malaysia telah mendapat manfaat daripada nilai moratorium pinjaman sebanyak RM74.3 bilion. Melanjutkan moratorium pinjaman sebanyak 6 bulan lagi apabila tamat pada 30 September 2020, hanya akan menelan belanja sebanyak RM6.4 bilion kepada bank,” jelasnya.
Lim berkata industri perbankan yang mencatatkan keuntungan bersih RM32 bilion tahun lalu mempunyai kemampuan untuk menyerap kerugian RM6.4 bilion yang berpunca daripada moratorium.
Beliau berkata jika industri itu enggan melakukannya, maka kerajaan harus menanggung kerugian.
“Tidaklah besar mana jumlah RM6.4 bilion berbanding pakej rangsangan ekonomi RM295 bilion jika ia dapat membantu 8 juta individu dan perniagaan kecil?,” katanya. – 29 Ogos, 2020.
Komen