Ahli Parlimen PAS enggan minta maaf isu minum arak, kitab Injil


Diyana Ibrahim

Nik Muhammad Zawawi Salleh mahu isu kenyataannya berhubung arak diselesaikan dengan dialog secara harmoni dan terbuka untuk dinilai rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2020.

AHLI Parlimen PAS Nik Muhammad Zawawi Salleh enggan memohon maaf dan mempertahankan kenyataannya berhubung ajaran Kristian yang didakwa tidak sensitif.

Dakwaannya mengenai amalan minum arak dan kesalahan dalam kitab Injil itu tidak menjadi kesalahan kerana berpandu al-Quran, tegasnya ketika bercakap kepada The Malaysian Insight.

“Saya tidak akan minta maaf… Minta maaf, apa saya (kata) tak salah. Saya bercakap atas dasar ilmu yang (saya) belajar, fakta saya terima.

“Dan dalam al-Quran pun ada sebut, dan takkan Al-Quran tak betul. Sebab itu saya yakin,” katanya yang menjawab tuntutan dari Persatuan Gereja Sarawak.

Namun, jika persatuan Kristian itu tidak berpuas hati dengan kenyataannya ia perlu diselesaikan dengan dialog secara harmoni yang diadakan secara terbuka untuk dinilai rakyat.

“Kalau dia rasa kenyataan saya tak betul boleh buat dialog harmoni tapi syarat terbuka lah saya tak nak tertutup

“Elok terbuka saya beri hujah fakta dan umum akan menilai. Mudah-mudahan kita dapat cari kebenaran apa sebenarnya berlaku dalam kitab lama seperti Injil.

“Apa isi dia hakikat sebenar apa bukti yang saya boleh kemukakan dan apa pihak agama Kristian. kita kemukakan, kita nak cari kebenaran,” katanya.

Persatuan Gereja Sarawak mahu beliau menarik balik kenyataan dan memohon maaf atas kenyataan berkaitkan amalan minum arak dan juga mengenai kitab Injil

Ia rentetan dari ucapannya semasa sidang Dewan Rakyat untuk meningkatkan hukuman denda memandu semasa mabuk.

Dalam ucapannya ketika membahas Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 itu, beliau berkata tidak ada agama yang membenarkan penganutnya minum alkohol.

Oleh itu keputusan kerajaan mengetatkan undang-undang bagi menangani isu pemandu mabuk tidak sepatutnya menjadi isu sensitif bagi agama lain, katanya.

“Islam halang penganut agama Islam sahaja(lain) dibenarkan. Tapi saya belajar dalam perbandingan agama, saya kira tidak ada agama sebenarnya membenarkan penganutnya minum arak.

“Tidak ada agama, Buddha, Hindu agama lain tak benarkan, isu ini tidak jadi satu sensitif bagi agama lain,” kata Zawawi.

Beliau dicelah Ahli Parlimen Beruas Ngeh Khoo Ham yang berkata kenyataan itu tidak tepat kerana ada agama bukan Islam benarkan minum alkohol asalkan tidak memabukkan.

Ahli Parlimen DAP memberi contoh penggunaan wine dalam upacara “Lord Supper” bagi agama Kristian.

Zawawi bagaimanapun menolak hujah Ngeh dengan berkata bagi kandungan kitab Injil bagi agama Kristian terpesong kerana alkohol memang tidak dibenarkan.

Katanya, beliau sebagai pakar perbandingan agama yang mengkaji agama lain mendapati semua agama memang mengharamkan pengambilan arak biarpun sedikit.

Kenyataan itu mengundang kritikan antaranya dari Ketua Biskop Simon Poh.

Katanya, kenyataan Zawawi tidak sensitif dan melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 yang menjamin hak kebebasan beragama.

Poh juga berkata kenyataan Zawawi itu melampau dan tidak menghormati sensitiviti agama dan menghina penganut Kristian. – 29 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Hooi, kepala otak lembu, jaga mulut kau....

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Thomas Samuel · Ulasan