AKTIVIS belia perlu berkempen menentang pelaksanaan pilihan raya sehinggalah kerajaan mewartakan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik, kata Senator Liew Chin Tong.
Beliau berkata gesaan itu dibuat memandangkan anak muda tidak akan dapat mengundi jika pilihan raya diadakan secara mengejut, walhal undi golongan itu sangat penting dalam membentuk masa depan negara.
“Mereka bakal pemimpin baharu dalam negara dan melalui dua inisiatif yang dibawa semasa PH menjadi kerajaan iaitu Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik membolehkan mereka menjadi suara penentu dalam masa depan negara.
“Tapi mereka tidak akan dapat diberi peluang demikian jika pilihan raya mengejut diadakan sebelum kerajaan PN mewartakan dua rang undang- undang itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengerusi DAP Johor itu menggesa anak muda untuk tampil ke depan memperjuangkan hak mereka.
“Demokrasi tidak akan senang dicapai. Ia adalah hasil daripada perjuangan yang sangat panjang.
“Sudah tiba masanya anak muda tampil ke depan. Inilah masanya untuk mereka menuntut hak yang boleh menentukan masa depan negara. Inilah masanya untuk mereka bersinar,” katanya.
Bekas ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menubuhkan parti politik baharu berbilang kaum dan memfokuskan kepada golongan belia ketika orang ramai menjangkakan beliau akan menyertai Pejuang, parti baru yang ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad.
“Jika di Thailand mereka boleh menubuhkan ‘Future Forward’, di Perancis mereka boleh menubuhkan ‘En Marche’ di bawah Macron, saya rasa sudah sampai masanya di Malaysia untuk menubuhkan gerakan terdiri daripada orang muda.
“Daripada teknokrat, profesional, ahli politik muda pelbagai latar belakang untuk bersatu bagi memastikan suara belia mendominasi Parlimen dan di luar Parlimen, akhirnya belia tidak boleh dipandang enteng lagi.
“Sudah sampai masanya untuk politik tidak dikawal dan dimonopoli orang sama,” kata bekas menteri belia dan sukan itu.
Kumpulan aktivis anak muda juga sejak beberapa minggu lalu membayangkan akan membentuk sebuah platform baharu yang mana mereka juga menyebarkan tanda pagar #masakita menandakan sekarang masanya untuk golongan muda menyertai dan mengambil alih kepimpinan politik. – 22 Ogos, 2020.
Komen