Covid-19: Bolivia umum longgarkan sekatan


Seorang pekerja kesihatan menyembur pembasmi kuman terhadap seorang penduduk yang menunggu untuk mendaftar bagi pilihan raya pada Oktober ini di Santa Cruz, Bolivia. – Gambar EPA, 29 Ogos, 2020.

BOLIVIA akan melonggarkan sekatan bagi memerangi wabak koronavirus mulai minggu depan dan kekal menutup pintu sempadan, kata presiden sementara Jeanine Anez semalam.

Anez dan kabinetnya menandatangani keputusan yang menyatakan bahawa negara Amerika Selatan yang bakal mengadakan pilihan raya umum pada Oktober akan memulakan “fasa pasca pengurungan” pada 1 September.

Penutupan sempadan darat, sungai dan tasik serta penangguhan acara umum, budaya, sukan, aktiviti perayaan dan politik serta semua jenis mesyuarat beramai-ramai akan kekal dikuatkuasakan.

Orang ramai dan kenderaan akan dibenarkan keluar untuk jangka masa lebih lama antara jam 5 pagi dan 8 malam – lebih dua jam dari peraturan semasa – dan larangan pergerakan hujung minggu akan ditarik semula mulai hari ini.

Anez memberitahu wartawan semalam bahawa kemungkinan jangkitan semula virus itu tetap berlaku disebabkan kurangnya sekatan.

Pakar percaya penularan virus Covid-19 akan memuncak di Bolivia antara September dan November termasuk ketika negara itu mengadakan pilihan raya umum yang ditunda sebanyak dua kali pada 18 Oktober.

Langkah-langkah ketat dilaksanakan sejak Mac setelah negara itu mencatat kes jangkitan pertama.

Sehingga kini Bolivia mempunyai lebih 113,000 jangkitan dengan 4,800 kematian.  – AFP, 29 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen