Kes Covid-19 meningkat, Eropah tingkat langkah kawalan


Paris mula mewajibkan pemakaian pelitup muka setiap masa di tempat awam. – Gambar EPA, 29 Ogos, 2020.

EROPAH semalam meningkatkan perintah kawalan jangkitan Covid-19, dengan Hungary sekali lagi menutup pintu sempadan, manakala Paris mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Canselor Jerman Angela Markel memberi amaran langkah membendung pandemik Covid-19 akan menjadi lebih sukar pada musim luruh dan musim sejuk.

Paris sebelum ini mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan kawasan yang sesak sahaja, tetapi mula meluaskan keperluan pemakaian kepada setiap masa di tempat awam.

Ia juga selaras dengan langkah melonggarkan sekatan pergerakan untuk menggerakkan semula ekonomi.

“Langkah ini perlu kerana kes semakin meningkat,” kata Perdana Menteri Perancis Jean Castex. 

Pihak berkuasa kesihatan Perancis semalam melaporkan 7,400 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam.

Di Hungary, semua warga asing dilarang masuk ke negara itu mulai 1 September ini. Rakyat tempatan yang pulang dari luar negara pula perlu menjalani dua ujian saringan Covid-19.

Greece pula akan melanjutkan perintah berkurung di kem-kem pendatang asing di kepulauan Aegean sehingga 15 September. 

Sehingga kini, sebanyak 24.5 juta kes jangkitan Covid-19 dengan lebih 832,000 kematian di seluruh dunia sejak virus itu muncul di Chinapada Disember lalu. – AFP, 29 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen