Anak perempuan Mukhriz mohon maaf langgar PKPP


Anak Mukhriz Mahathir, Meera Alyanna Mukhriz dan suami ditahan di sebuah pub TTDI kerana melanggar PKPP. – Gambar Facebook, 29 Ogos, 2020.

ANAK perempuan Mukhriz Mahathir, Meera Alyanna Mukhriz membuat permohonan maaf kerana melanggar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) apabila berada di sebuah pub melepasi jam 12 tengah malam seperti ditetapkan.

“Saya minta maaf banyak-banyak. Melanggar perintah berkurung 12 am bukan sahaja tindakan bodoh, tetapi juga tidak bertanggungjawab memandangkan kita masih dalam pandemik,” tulisnya di Instagram.

“Tidak ada alasan untuk kelakuan saya dan anda berhak rasa kecewa, tetapi ia tidak mengatasi rasa kecewa saya dengan diri sendiri.”

Katanya lagi, beliau dan suami serta dua rakan mereka berada di pub Salute di Taman Tun Dr Ismail pada 21 Ogos untuk meraikan hari lahir kawannya.

“Polis datang pada jam 1.30 pagi dan membawa semua yang hadir ke balai polis, di mana kami didenda setiap seorang RM1,000,” katanya lagi, menambah yang selain dirinya dan suami, terdapat 29 orang yang turut dibawa ke balai polis.

“Setakat Selasa, 25 Ogos, suami dan saya sudah membayar denda kami,” katanya.

Permohonan maaf itu dikeluarkan sehari selepas Mukhriz mengakui anak perempuannya adalah “anak perempuan VIP” yang ditahan kerana melanggar PKPP di sebuah pub TTDI.

Beliau turut meluahkan kekecewaan dengan tindakan anak perempuan dan menantunya, berkata, “Mereka layak dikompaun.”

PKPP yang sepatutnya berakhir 31 Ogos ini dilanjutkan sehingga 31 Disember, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam. – 29 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen