Program latihan vokasional dan teknikal untuk Orang Asli bermula, kata menteri


Noel Achariam

Kerajaan merancang program latihan teknikal dan vokasional di sekolah Orang Asli seluruh negara bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2020.

KEMENTERIAN Sumber Manusia akan bekerjasama dengan sekolah Orang Asli seluruh negara untuk menganjurkan program pendedahan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, kata Menterinya M Saravanan.

Saravanan memberitahu The Malaysian Insight yang akses kepada program itu akan mampu meningkatkan kualiti kehidupan belia Orang Asli.

“Bila kita bercakap tentang Orang Asli, perubahan perlu dilakukan segera, berdasarkan apa yang berlaku (kadar pengangguran tinggi) dalam persekitaran mereka.

“Mereka perlu bergerak ke depan. Mereka tak boleh lagi bergantung kepada (cara hidup) tradisional kampung Orang Asli,” katanya.

Tambahnya, kementeriannya mensasarkan 2,000 peserta Orang Asli seluruh negara dalam fasa pertama program berkenaan.

“Kerjasama akan melibatkan TVET, kementerian saya dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa).

“Kerjasama ini adalah untuk meningkatkan pengambilan belia Orang Asli seluruh Malaysia, memasukkan mereka ke dalam 32 buah Institut Latihan Perindustrian (ILP) di bawah Jabatan Tenaga Kerja.”

Saravanan juga mendedahkan yang program TVET Orang Asli mula diperkenalkan pada Januari 2020 dengan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) melantik 10 Orang Asli sebagai penyelaras lapangan untuk menggerakkan program itu.

“Penyelaras ini mempromosi dan menggalakkan belia Orang Asli untuk mendaftarkan diri dengan program ditawarkan di ILP.

“Program ini dimulakan di Cameron Highlands dan seramai 46 belia Orang Asli sudah diterima dan mula mendaftar pada Januari dan Februari 2020.”

Bagaimanapun, tambah Saravanan lagi, program itu terpaksa ditangguh selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasa pada Mac.

Katanya, selain kursus jangka panjang, kementerian juga akan memperkenalkan kursus jangka pendek dan kursus bermodul untuk komuniti Orang Asli.

“Kami sedang merangka asas kursus dan akan melaksanakannya di kampung Orang Asli.

“Kursus yang akan dibuat termasuklah asas jahitan, asas seni dan kursus lain yang sinonim dengan komuniti Orang Asli.”

Tambahnya lagi, peranan kumpulan masyarakat sivil dan sektor swasta sangat penting bagi memastikan kejayaan program tersebut.

Ini bagi membolehkan belia Orang Asli boleh mendapatkan penempatan pekerjaan yang berkaitan kursus mereka dan juga peluang mempelajari aspek keusahawanan. – 29 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen