Sambung lagi PKPP sampai 31 Disember, umum PM


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan secara langsung melalui televisyen malam tadi. – 28 Ogos, 2020.

PERINTAH kawalan pergerakan pemulihan dilanjutkan untuk tempoh empat bulan lagi sehingga 31 Disember ini, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Katanya, sekatan itu disambung lagi kerana Covid-19 masih belum dapat dibendung sepenuhnya dan masih menular, seperti yang berlaku di beberapa daerah di Kedah, Perlis dan Sarawak baru-baru ini.

“Ini bermakna kerajaan masih memerlukan mekanisme undang-undang untuk meneruskan usaha-usaha mencegah dan mengawal penularan wabak Covid-19. 

“Justeru, demi kepentingan saudara-saudari sekalian, kerajaan telah memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020,” kata perdana menteri dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui televisyen, malam ini.

Jelas Muhyiddin, dengan lanjutan tempoh PKPP itu, pihak berkuasa akan terus mengambil tindakan ke atas mereka yang melanggar peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, demi memastikan segala protokol keselamatan dan kesihatan dipatuhi.

Kerajaan juga katanya akan terus memperketatkan kawalan sempadan dan mewajib rakyat dan warga asing yang pulang ke Malaysia untuk menjalani perintah kuarantin 14 hari.

Beliau turut memberi ingatan agar rakyat tidak mengambil mudah ancaman serius penularan yang cepat dalam skala besar oleh virus perebak utama (super spreader).

“Oleh itu, peraturan kuarantin yang ketat di tempat-tempat tertentu akan terus dikuatkuasakan.

“Tiada sesiapa dikecualikan daripada peraturan ini dan mana-mana individu yang melanggarnya akan dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Muhyiddin juga membayangkan kerajaan akan menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan melanggar peraturan PKPP sehingga “dua atau tiga kali ganda dari kadar sekarang’, seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

“Walaupun begitu perkara ini perlu diperhalusi dan (akta) perlu dipinda terlebih dahulu,” katanya.

PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac bagi membendung penularan pandemik Covid-19. Dengan pengumuman malam ini, langkah pencegahan itu setakat ini akan berjalan selama 289 hari atau bersamaan 9 bulan 14 hari.

Dalam tempoh tersebut, perintah itu dilonggarkan antara 4 Mei hingga 9 Jun sebelum digantikan dengan fasa pemulihan dengan kelonggaran yang lebih luas bermula 10 Jun.

Muhyiddin berharap rakyat akan terus membiasakan diri dengan cara hidup baharu dan tetap mematuhi peraturan, termasuk sentiasa menjaga kebersihan dan terus memakai pelitup muka.

Beliau juga mengumumkan kerajaan sedang berunding dengan pengilang dan pembekal untuk menurunkan harga pelitup muka, bagi meringankan beban perbelanjaan rakyat.

Putrajaya sebelum ini sudah menurunkan harga siling pelitup muka tiga lapis kepada RM1 seunit di peringkat runcit dan 95 sen seunit di peringkat borong, berkuatkuasa 15 Ogos lalu. – 28 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen