PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin dan beberapa orang menterinya yang juga berada dalam pentadbiran terdahulu perlu tampil memberi penjelasan berkaitan kontrak rundingan terus diberikan kepada kementerian mereka ketika Pakatan Harapan mentadbir, kata Lim Guan Eng, hari ini.
Bekas menteri kewangan itu berkata antara “menteri pengkhianat” termasuklah Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa Mohamed Azmin Ali- dahulunya menteri hal ehwal ekonomi, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun yang menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar ketika pentadbiran PH.
Katanya, mereka perlu mendedahkan butiran projek berjumlah RM697.06 juta yang diberikan kepada kementerian mereka ketika menjadi menteri kerajaan PH.
“Kementerian Dalam Negeri, siapa menteri ketika itu, semua tahu, Muhyiddin Yassin meminta RM517.7 juta, Zuraida minta RM170.8 juta, Azmin minta RM1.2 juta dan Rina minta RM7.36 juta.
“Menteri-menteri pengkhianat ini harus tampil ke depan untuk membuktikan mereka tidak bohong, tidur dalam Kabinet atau terlalu sibuk mengaturkan Langkah Sheraton,” kata Lim lagi.
Awal minggu ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mendedahkan yang kerajaan PH meluluskan 101 projek bernilai RM6.61 bilion menerusi rundingan terus.
Bagaimanapun, Lim hari ini berkata, Zafrul perlu melakukan pembetulan kenyataan kerana jumlah itu tersalah kira dan memberi tanggapan kepada rakyat bahawa kerajaan PH banyak melakukan rundingan terus.
“Sekiranya tidak mahu isu ini dipolitikkan, Tengku Zafrul harus mendedahkan projek RT (rundingan terus) zaman Barisan Nasional, dan yang penting sekali projek rundingan terus yang diluluskan oleh beliau sendiri dalam kerajaan Perikatan Nasional,” kata Lim lagi. – 28 Ogos, 2020.
Komen