Saksi lain juga disiasat kes Khairuddin langgar perintah kuarantin


Beberapa orang saksi dirakam kenyataan oleh polis ketika menteri itu hadir ke Bukit Aman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2020.

BEBERAPA saksi lain turut dirakam keterangan bersama Mohd Khairuddin Aman Razali ketika menteri itu hadir ke Bukit Aman untuk siasatan pada malam tadi, kata polis.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insight.

“Bersama beliau, turut dirakam keterangan beberapa saksi lain bagi membantu siasatan,” katanya yang menambah siasatan berlangsung selama kira-kira tiga jam sehingga 11.30 malam.

Menurut Mior, selepas siasatan selesai, kertas siasatan akan dihantar kepada pejabat peguam negara untuk tindakan lanjut.

“Kertas siasatan telah dibuka mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terhadap menteri berkenaan,” kata Mior.

Menteri PAS itu disiasat kerana didakwa tidak menjalani kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Polis membuka siasatan selepas menerima sekurang-kurangnya 27 laporan di seluruh negara berhubung kes itu.

Penguatkuasaan Akta 342 itu mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warganegara dan warga asing untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Ia sebagai langkah mengekang penularan virus Covid-19.

Pesalah kali pertama mengikut akta itu boleh dikompaun maksimum RM1,000 oleh ketua pengarah kesihatan, dipenjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika dihadapkan ke mahkamah oleh agensi penguatkuasaan.

Kementerian Kesihatan mengumumkan Khairuddin sudahpun dikenakan kompaun pada 7 Ogos dan menteri itu sudahpun menjelaskannya.

Bagaimanapun kementerian itu menyerahkan kepada polis untuk siasatan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan menegaskan tiada siapa terlepas daripada undang-undang.

Beliau menegaskan demikian walaupun tindak-tanduk Khairuddin itu dipertahan pemimpin PAS.

Antaranya, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan tindakan Khairuddin itu tidak mencetuskan kluster jangkitan baharu.

Tindakan Khairuddin melanggar perintah kuarantin itu mencetus cemuhan dan kritikan orang ramai yang membandingkannya dengan tindakan keras dikenakan ke atas individu lain bagi kesalahan sama. – 28 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen