Pada usia 95 tahun, Dr Mahathir tetap berkuasa


Chan Kok Leong

Dr Mahathir Mohamad menulis butiran diri sebagai mematuhi SOP Covid-19, ketika tiba di Felda Gunung Besout 3, untuk berkempen bersama calon Pejuang pada PRK Slim, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Ogos, 2020.

DR Mahathir Mohamad mungkin tewas dan hilang kerajaannya pada tangan individu yang bersama dengannya mengasaskan Bersatu pada 2016.

Tetapi pada usia 95 tahun, Dr Mahathir menunjukkan bisanya masih belum hilang dan masih mampu menarik rakyat, walaupun di kubu kuat Umno – di Felda.

Di Felda Trolak Utara, di mana beliau hadir untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, Dr Mahathir berucap di depan 250 orang, dengan berganda ramainya yang berdiri di seluruh kawasan ceramah.

Pada satu lagi program ceramah sebelah petangnya di Felda Gunung Besout 3, beliau berjaya menarik kehadiran kira-kira 300 orang.

“Saya selalu kritik Umno walaupun ketika saya masih dalam parti. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman tetap saya tidak pernah masuk parti lain,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir penceramah terakhir selepas Presiden Amanah Mohamad Sabu, anaknya Mukhriz dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari.

Betul-betul bertentangan tempat ceramahnya, Perikatan Nasional (PN) mengadakan sesi town hall untuk 150 orang bersama Timbalan Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan, Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khairudin dan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal.

Pemuda PN berjaya mengganggu Dr Mahathir sebanyak dua kali, tetapi bekas perdana menteri itu tetap meneruskan ceramahnya.

Beliau mengakui Umno yang memberikannya peluang hingga beliau dapat menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Dr Mahathir Mohamad berkempen untuk calon bebas bagi pihak Pejuang pada PRK Slim, Amir Khusyairi pada program ceramah di Felda Gunung Besout 3 di Slim River, Perak semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Ogos, 2020.

“Saya patut pertahankan Umno walaupun ketika ia salah. Tetapi saya bukan macam itu,” kata Dr Mahathir yang menyertai Umno pada 1946.

“Bila parti yang saya sertai tidak lagi setia pada objektifnya, saya tidak akan terikat dengan parti itu lagi. Perkara sama, saya harap, dengan anda semua.”

Beliau turut menjelaskan itu yang berlaku kepada Bersatu, yang ditubuhkan pada mulanya untuk menggulingkan bekas perdana menteri Najib Razak dan Umno.

Dr Mahathir, yang juga ahli Parlimen Langkawi, berkata Muhyiddin Yassin memberitahunya beliau juga mahu menggulingkan Najib, ketika mereka memulakan penubuhan Bersatu.

“Saya percaya pada dia dan mulakan Bersatu. Selepas itu kami pusing seluruh negara untuk kempen guling Umno yang diketuai oleh Najib.

“Tetapi selepas kami menang, objektif Muhyiddin berubah dan sekarang dia mahu kembalikan Najib.

“Dia mengkhianati pengundi yang percaya padanya dan saya untuk mengundi Pakatan Harapan bagi menghentikan Najib,” kata bekas pengerusi Bersatu itu. – 28 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen