Pejuang bukan tempat untuk kaya, kata Marzuki


Kamles Kumar

Pejuang merupakan parti Melayu baharu yang ditubuhkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2020.

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang baharu ditubuhkan oleh Dr Mahathir Mohamad tidak menawarkan sebarang jawatan atau habuan untuk menarik ahli, sebaliknya hanya berjanji untuk berlaku jujur dan menghapuskan rasuah, kata Marzuki Yahya.

Timbalan presiden jawatankuasa penajanya menjelaskan matlamat utama Pejuang ialah melawan penyelewengan.

Katanya, parti itu tidak mahu mengulangi kesilapan Bersatu apabila ahli-ahlinya menyertai parti dengan harapan mendapat kedudukan dan ganjaran.

“Kita tidak tawarkan apa-apa selain kejujuran untuk mengubah negara. Kita harap orang menyertai kami dengan sepenuh hati untuk menyelamatkan negara.

“Walaupun ini parti Melayu, kita juga mahu kaum-kaum lain menikmati kejayaan negara,” kata Marzuki dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Dr Mahathir baru-baru ini mengumumkan penubuhan Pejuang selepas merasakan Bersatu dan parti Melayu lain gagal memperjuangkan nasib orang Melayu.

Parti itu kini menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan.

Dr Mahathir dinamakan sebagai pengerusi sementara anaknya Mukhriz akan menerajui parti sebagai presiden.

Timbalan Presiden Jawatankuasa Penaja Pejuang Marzuki Yahya berkata parti itu tidak menawarkan sebarang jawatan atau habuan untuk menarik ahli. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 28 Ogos, 2020.

Marzuki, salah seorang pengasas Pejuang, berkata parti itu tidak bertenggek pada Dr Mahathir tetapi menggunakan beliau sebagai simbol perlawanan terhadap rasuah dan kleptokrasi.

“Sesebuah negara gagal kerana rasuah. Sebagai negara demokratik, apa lagi cara yang boleh kita gunakan (selain menubuhkan sebuah parti)?

“Kita dirikan parti untuk mendidik rakyat dan menunjukkan kepada mereka ahli politik yang korup yang menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi,” kata bekas menteri luar.

Dr Mahathir dan beberapa wakil rakyat Bersatu hilang keahlian sebagai anggota parti selepas terus menyokong Pakatan Harapan walaupun parti itu membentuk gabungan baharu dengan Umno dan PAS, serta didukung oleh komponen Barisan Nasional dan parti dari Sabah dan Sarawak.

Kumpulan itu juga gagal mencabar pemecatan mereka di mahkamah, dan susulan itu memutuskan menubuhkan sebuah parti baharu.

Marzuki menepis dakwaan Pejuang hanya alat untuk Dr Mahathir dan Mukhriz meneruskan legasi politik keluarga.

“Ini bukan parti anak beranak. Ini tentang prinsip. Mukhriz meninggalkan parti kerana prinsip. Beliau tidak bersama dengan Perikatan Nasional walaupun memegang jawatan menteri,” katanya.

Mukhriz adalah bekas menteri besar Kedah.

Marzuki Yahya yakin Pejuang akan berjaya didaftarkan sebagai sebuah parti politik tidak lama lagi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 28 Ogos, 2020.

Menurut Marzuki beliau yakin Pejuang akan dapat didaftarkan tidak lama lagi.

“Tiada alasan untuk mereka tidak meluluskannya. Tiada alasan untuk mereka menyekat kami, melainkan alasan itu adalah alasan politik.”

Sejak pengumuman penubuhannya, gerombolan ahli Bersatu  di beberapa bahagian di serata negara meninggalkan parti.

Pejuang bertanding dalam pilihan raya kecil Slim dengan calonnya muncul sebagai calon bebas kerana parti itu belum berdaftar. – 28 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen